rap

Tiada dendam terhadap Ellie - Isa Khan

Oleh Najiy Jefri

PELAKON dan penyanyi, Isa Khan tidak menyimpan dendam terhadap aktres, Ellie Suriaty selepas memuat naik video menyelar tindakan aktres itu melaungkan slogan 'hidup Melayu' ketika berada di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Isa berkata, meskipun dia dan Ellie dihalang berkawan oleh suaminya sejak beberapa bulan lalu, namun itu bukan punca utama sebaliknya dia berasa kurang senang terhadap slogan yang dilaungkan pelakon terbabit memandangkan Malaysia sebuah negara yang berbilang bangsa.

"Tujuan saya muat naik video itu adalah mewakili semua bangsa. Saya agak terkilan melihat video dia menjerit-jerit melaungkan slogan 'hidup Melayu'. Dia seharusnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat Malaysia.

"Jika slogan yang digunakan adalah hidup Malaysia, saya tiada masalah kerana kita hidup di sini sebagai rakyat Malaysia," katanya, hari ini.

Menurut Isa, dia tidak tahu sebab utama mereka dihalang berhubungan biarpun menganggap Ellie sebagai idola dalam dunia lakonan dan guru yang memberi tunjuk ajar ketika menyertai program Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

"Saya tidak tahu punca kami tidak dibenarkan berkawan. Kami tidak pernah menjalin hubungan istimewa pun.

"Saya cuma anggap dia sebagai mentor dan idola dalam bidang lakonan. Dia banyak mengajar saya ketika berada di dalam program AF.

Sebelum ini, netizen mempersoalkan tujuan sebenar Isa memuat naik video meluahkan rasa kurang senang terhadap Ellie yang dikatakan sebagai rasis.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 3:21pm
d