rap

Media sosial bukan penentu

Oleh Ardini Sophia Sina

Mempunyai puluhan ribu pengikut di Instagram, Muiz bagaimanapun tidak berasakan ia satu kelebihan dalam meniti kerjaya sebagai penyanyi.

Berusia 20 tahun, jejaka kelahiran Negeri Sembilan ini tampil mempertaruhkan single Pelangi Indah. Lagu ciptaan Badrul Hanafi itu bergenre pop rock mula dipromosikan pada tahun ini.

“Lagu ini sudah siap dirakam tahun lalu. Namun, promosi hanya giat dijalankan tahun ini. Saya harap ia akan membuka jalan agar saya dapat kembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

“Walaupun ada ribuan pengikut di Instagram, ia tidak menjanjikan kejayaan dalam bidang muzik. Semuanya bergantung pada bakat. Bagaimanapun, saya harap umum dapat memberikan peluang untuk saya membuktikan bakat sebagai penyanyi,” katanya yang digelar sebagai Instafamous.

Muiz bagaimanapun tidak menafikan mempunyai ramai kenalan daripada kalangan Instafamous dapat mempromosikan lagunya secara meluas. Ramai rakannya membantu mempromosikan lagu itu.

Hasil daripada perkongsian, Pelangi Indah yang boleh didengari menerusi platform digital seperti Joox, Spotify, Kkbox mendapat sambutan yang baik. Muiz berharap agar peminat terus menyokong karya nyanyiannya.

“Sebagai pendatang baharu, saya berharap pihak media dapat membantu untuk memperkenalkan saya kepada umum. Saya minat muzik dan bukan sekadar mengejar populariti semata-mata.

“Saya akui, masih banyak yang perlu dipelajari bagi memantapkan lagi vokal dan cara nyanyian. Saya tidak akan berputus asa untuk terus mengejar impian,” katanya.

Menjadi penyanyi jemputan yang menghiburkan tetamu pada majlis Final Mr Malaysia 2018 di Hotel Istana pada penghujung bulan ini, ia adalah antara kesempatan terbaik untuk mempamerkan kebolehannya sebagai penghibur.

“Saya bersyukur kerana dipilih sebagai artis undangan pada majlis itu nanti. Saya akan berusaha memberikan yang terbaik apatah lagi tetamu yang hadir bukan hanya dari Malaysia tetapi juga Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina,”katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 11:54am
d