rap

'Saya sedar saya salah'

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Saharul Ridzuan mengaku terlepas pandang ketika melakonkan babak bersama aktres senior Azizah Mahzan sebagai Nek Mah dalam drama Jangan Benci Cintaku.

Ekoran itu, Saharul menafikan dakwaan dirinya sudah terbuka untuk melakukan adegan mesra bersama bukan mahram seperti berpelukan mahupun berpegangan tangan.

"Saya akui kadang-kadang saya tidak sedar apabila melakonkan watak dengan wanita berusia seperti bersalaman.

"Ini kerana, saya sudah terbiasa bersalaman dengan saudara. Apapun saya sedar ia perbuatan yang salah.

"Saya akui perlukan masa untuk ubah diri sedikit demi sedikit daripada melakukannya secara drastik," katanya menganggap apa yang berlaku adalah proses mendidik dirinya dan bukan untuk menunjuk baik.

Menurut Saharul, dia masih mengekalkan prinsip untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita dalam setiap drama yang dibintangi.

"Bagi saya ia hanya salah faham penonton terhadap adegan bersentuhan dilakukan kerana ia adalah teknik permainan kamera.

"Lagipun setiap babak mesra yang saya lakonkan dibuat secara berlapik dan ia dilihat tidak keterlaluan," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 3:40pm
d