rap

Syura cuba cipta lagu sendiri

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PENYANYI Syura Badron, 33, akui mengambil langkah berani dengan mencuba mencipta lagu sendiri untuk single terbaru.

"Single kali ini adalah percubaan pertama untuk bergelar komposer dan penulis lirik walaupun saya pernah suarakan tidak mahu mencuba bidang itu kerana berasakan ia kerja sukar.

"Tapi apabila saya mencubanya sendiri, baharu saya sedar, beginilah rupanya komposer mendapat ilham," katanya.

Penyanyi yang juga Juara Masterchef Selebriti Malaysia musim ke-2 ini berkata, single terbaru kali ini adalah berentak 'Reggaeton', genre rancak pop Latin yang berasal dari Puerto Rico.

Perubahan genre selesanya terdahulu yakni balada kepada pop dibuat kerana beranggapan sudah tiba masa untuk dia melakukan perubahan.

"Saya ambil nasihat Datuk Ramli MS yang menasihati agar saya lakukan perubahan jika mahu berjaya.

"Malah ketika penyertaan di dalam Gegar Vaganza tahun lalu, peminat memberi respon positif ketika saya menyampaikan lagu pop berbanding balada," katanya.

Syura berkata, lagu itu sudah siap sepenuhnya sejak bulan lalu dan dijangka dilancarkan pada Ogos depan sebaik saja mendapat pengedar sesuai.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 9:43pm
d