rap

Abadi keindahan Kota Kinabalu

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Bagi memastikan apa yang dipersembahkan berbeza dari sudut sinematografi, syarikat produksi Aquila Emas Sdn Bhd (AESB) melakukan penggambaran drama terbaru terbitannya, Romeo vs Juliet sepenuhnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia bukan saja menjalani penggambaran di sana, malah turut menggabungkan bakat dari Negeri di Bawah Bayu itu dengan pelakon popular Semenanjung.

Bukan itu saja, mereka turut menggunakan tenaga kerja sepenuhnya dari Sabah, kecuali pengarah Nizam Zakaria untuk mengarah drama yang bakal ditayangkan pada 22 Julai ini jam 8.30 malam di ntv7.

Drama ini menampilkan pendatang baru semakin mencipta nama iaitu Eyka Farhana dan Fahad Iman sebagai teraju utama. Mereka digabungkan dengan pelakon tempatan Sabah seperti Melanie Tan, Ixora Roselle dan Annexaveria.

Penerbit Eksekutif AESB Zizan Nin berkata, usaha terbaru dilakukan itu adalah untuk memberikan kelainan kepada penonton dari sudut lokasi dan persekitaran.

Keindahan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang semakin pesat membangun dan terletak di pinggir pantai sememangnya sesuai dengan tema Romeo vs Juliet iaitu romantik komedi.

“Macam-macam ada di Kota Kinabalu. Ada tanah tinggi, laut dan panorama kosmopolitan, semuanya tertumpu di lokasi sama,” katanya.

Zizan yang juga pelakon berkata, pihaknya menyahut saranan pihak stesen TV sebelum ini yang mahukan gabungan pelbagai kaum dan etnik supaya karya nampak lebih realistik kerana memaparkan persekitaran sebenar kehidupan masyarat di Malaysia.

“Jika kita lihat sebelum ini, pengkarya di Kota Kinabalu hanya bekerja di sana menyebabkan ramai pihak tidak tahu kemampuan mereka.

“Saya mengharapkan Romeo vs Juliet akan membuka mata pengkarya di Semenanjung, sekali gus memberikan peluang jika mahu menjalani penggambaran di Sabah.

“Mereka tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membawa kru dari Kuala Lumpur kerana kita juga mempunyai penggiat seni dan tenaga produksi di sana,” katanya.

Ditanya mengenai corak lakonan Eyka dan Fahad apabila digandingkan dengan pelakon Sabah, Zizan berkata, mereka sememangnya profesional, berbakat dan memahami watak masing-masing.

“Pelakon dari Sabah seperti Melanie Tan dan Ixora Roselle memberikan lakonan baik dan mereka membuat persediaan rapi. Walaupun masing-masing membawakan watak pembantu, mereka menimbulkan keceriaan dan memberikan warna dalam Romeo vs Juliet,” katanya.

Nizam kagum dengan Kota Kinabalu

Selaku pengarah berpengalaman, Nizam menyifatkan bekerja dengan kru dan pengkarya dari Sabah adalah pengalaman yang sangat menarik.

“Saya sudah kenal jurukamera untuk Romeo vs Juliet, Timothy Stephen Tony Tanni sejak belajar di ASWARA dulu, jadi kami tidak ada masalah komunikasi di situ.

“Pada saya, semua tenaga kerja produksi di Sabah mempunyai kepakaran terutama membabitkan bidang sinematografi. Kemampuan mereka sama juga dengan penggiat di Semenanjung.

“Cuma pada saya bonusnya dalam mengarahkan drama ini tenaga kerja dari Sabah tahu selok-belok penggambaran terutama dalam mendapatkan lokasi. Saya akui mereka banyak membantu dalam hal itu,” katanya.

Nizam berkata, sebelum penggambaran Romeo vs Juliet dia tidak pernah menjejakkan kaki di Kota Kinabalu.

Sebaik tiba di sana, dia akui selama ini apabila ramai yang memuji Kota Kinabalu cantik adalah benar.

“Walaupun Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang pesat, apabila memandu kita akan nampak pemandangan cantik seperti persisiran pantai dan laut biru. Menjadi bandar raya di pinggir laut sudah tentu akan nampak perbezaan yang besar dalam visual.

“Dalam mengarahkan drama ini saya cuba menampilkan keindahan Kota Kinabalu. Ia kelihatan seperti kawasan ‘urban’, tetapi pada masa sama memiliki keindahan semula jadi.

“Itulah keunikan Kota Kinabalu dalam Romeo vs Juliet. Tidak keterlaluan jika saya anggap Kota Kinabalu juga salah satu faktor tarikan untuk penonton menonton drama ini,” katanya.

Ditanya mengenai pelakon Sabah yang ditampilkan dalam Romeo vs Juliet, Nizam berkata, dia terkejut kerana mereka bukan saja cantik tapi turut berbakat besar sebagai pelakon.

“Saya terkejut kerana mereka bukan selalu berlakon, tapi ada kelebihan. Bakat mereka boleh pergi jauh jika diberi peluang untuk diketengahkan.

“Saya beruntung kerana dapat bekerja dengan pelakon Sabah. Saya mengharapkan pada masa hadapan banyak produksi Semenanjung menjalankan penggambaran di Sabah dan Sarawak kerana selain cantik, mereka turut mempunyai bakat bagus. Sebaik-baiknya dalam drama tempatan dihasilkan kita sebagai pengkarya menunjukkan kepelbagaian yang ada di Malaysia,” katanya.

Sinopsis

Romeo vs Juliet mengisahkan mengenai Haikal (Fahad) yang bekerja sebagai dermatologist dan teman baiknya Irwan (Haris Zainuddin) seorang pereka fesyen.

Persamaan mereka adalah majoriti pelanggan adalah wanita, tetapi masing-masing belum mempunyai kekasih hati.

Julie (Eyka) yang bekerja sebagai jurutera dan Yasmin adalah sahabat karib dan baru berpindah di kawasan kejiranan Haikal.

Disebabkan sibuk dengan kerja dan kehidupan masing-masing, mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Julie dan Yasmin sering mendengar suara jiran mereka yang selalu berkaraoke tetapi menyanyi sumbang. Nampak juga kelibat lelaki dan wanita keluar masuk di rumah itu. Ada ketika berlaku pergaduhan di rumah jiran mereka sehingga menimbulkan syak wasangka Julie dan Yasmin yang jiran mereka penjenayah serta menyembunyikan perkara yang tidak bermoral.

Pada masa sama, kedua-dua pasangan ini saling berkenalan dan jatuh hati antara satu sama lain di lokasi dan acara yang berbeza.

Selain bercinta sebagai pasangan kekasih mereka sering meluahkan permasalahan kepada teman lelaki masing-masing.

Teman lelaki mereka pula tidak mengetahui kisah dan kejadian yang diluahkan pasangan masing-masing sebenarnya merujuk kepada mereka sendiri.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 11:38am
d