rap

Hannah gemuruh nantikan Langsuir

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON Hannah Delisha, 22, mengakui teruja menantikan kehadiran filem pertamanya, Langsuir yang akan ‘menghantui’ pawagam seluruh negara menjelang September ini.

“Ini adalah filem pertama saya dan tentunya, rasa sangat teruja bercampur gemuruh menantikan kehadirannya,” katanya kepada Harian Metro.

Setiap kali ditanya mengenai filem arahan Osman Ali itu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birchshe mengakui akan sentiasa ingat pengalaman ketika menjalani penggambaran.

“Penggambaran dijalankan di pulau terpencil di Langkawi dan setiap kali mengimbau kenangan di sana, saya akan ingat satu insiden yang bagi saya menggelikan.

“Ada satu insiden, ketika saya sedang duduk sendirian di kawasan pulau terpencil itu, tiba-tiba saya rasa ada benda merayap di betis saya.

“Saya ingatkan kain saya basah terkena air laut atau apa. Rupa-rupanya, ada ular berwarna hitam menjalar dan merayap di kaki saya. Itu akan sentiasa saya ingat sampai bila-bila,” katanya.

Hannah yang ditemui di majlis pelancaran telefon pintar di Sungai Buloh juga bersyukur kerana kerjayanya semakin berkembang dengan baik di Malaysia.

“Alhamdulillah, kerjaya lakonan dan muzik nampaknya semakin baik dan harapnya akan terus diterima peminat Malaysia,” katanya.

Selain Hannah, Langsuir turut dibintangi beberapa pelakon lain antaranya Syafiq Kyle, Firdaus Nadzaman dan Julia Farhana.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 4:37pm
d