rap

Pertaruh genre seram

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kejayaan beberapa filem seram tempatan di pawagam mendorong syarikat penerbitan untuk terus menghasilkan filem genre itu.

Baik syarikat besar atau kecil, masing-masing berlumba menerbitkan filem sebegini kerana yakin ia antara pilihan penonton.

Cuma, apa yang membezakan adalah kos pembikinan sesebuah filem itu selain jalan cerita yang dipersembahkan.

Penerbit AD Motion Media Mokharul Shamsul Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Asey berkata, pengalaman dalam bidang penerbitan bersama syarikat MIG dahulu dijadikan sandaran untuk mencuba nasib dalam menghasilkan filem Jodoh Syaitan.

Mokharul berkata, walaupun kos filem sulung terbitan syarikatnya itu kurang RM1 juta, dia yakin jalan cerita dan barisan pelakon yang dipilih mampu menarik perhatian peminat filem Melayu ke pawagam.

“Dalam industri filem kita, kalau pilih genre aksi ia membabitkan modal besar. Memandangkan saya penerbit baru daripada syarikat kecil, genre paling selamat adalah seram.

“Saya memperuntukkan kos pembikinan filem ini antara RM800,000 hingga RM900,000. Jadi, apa yang perlu dititikberatkan adalah persembahan jalan cerita terutama elemen seram.

“Mengambil contoh pengalaman saya bekerja di belakang tabir untuk beberapa filem seram, kebanyakannya diberi suntikan berbeza. Dari situ tidak mustahil ia boleh dapat sambutan,” katanya.

Menurut Mokharul, filem seram juga satu-satunya genre yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Malah, keyakinan Mokharul terhadap pengarahnya, Bob Hashim yang pernah mengarahkan filem Ngangkung, Sumpahan Kum Kum, Paku Pontianak, Adnan Sempit 2, Adnan Sempit 3 dan banyak lagi itu boleh memberi magis untuk filem terbabit.

“Ini memang filem seram. Cuma, kehadiran pelawak Abam menambah sedikit eleman komedi. Pada masa sama, kemunculan Sofi Jikan selaku watak utama memberi kelainan kepada filem ini sekali gus menyaksikan transisi watak yang sering dilakonkan.

“Bagi pelakon utama wanita pula, saya dan pengarah sepakat memilih Aprena Manrose selepas dia menghadiri uji bakat. Walaupun pada awalnya ada sedikit salah faham membabitkan jadual, perkara ini dapat diselesaikan. Saya percaya dengan bakat lakonan dimiliki,” katanya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya terhadap filem itu apatah lagi membariskan pelakon yang kurang dari segi nilai komersial, Mokharul tetap optimis dan menganggap penonton lebih bijak menilai.

“Bagi saya, penonton sekarang sudah bijak. Kalau pelakon bagus dan popular tetapi jalan cerita tidak bagus, filem tetap tak laku. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun, saya perlu berani dan ambil ini sebagai risiko.

“Saya menyerahkan perkara ini kepada rezeki Allah SWT. Saya tetap yakin, jika filem ini ditayangkan penonton tidak akan kecewa.

“Cuma, saya tidak mahu terlalu berharap. Seandainya filem ini berjaya, ia bonus untuk saya dan semua pihak terbabit. Saya buat filem ini pun sebab rindu dalam bidang ini,” katanya.

Sofi terharu

Pertama kali dipilih sebagai hero dalam filem, Sofi meluahkan rasa gembira dan bangga.

Malah, Sofi yang popular menerusi watak gengster tidak pernah menjangka mendapat tawaran berlakon semula selepas hampir tujuh bulan tidak terbabit dalam penggambaran.

“Saya terima filem ini sebab ditawarkan watak hero yang sebelum ini tidak pernah sama sekali. Kedua, watak ditawarkan berbeza daripada kebanyakan filem lakonan sebelum ini.

“Apa boleh dikatakan, saya berasakan ini satu ini anugerah. Saya berfikir, selepas terbabit dalam kontroversi, hayat saya dalam industri lakonan sudah mati. Sebaliknya, masih ada yang memandang dan menghargai bakat saya,” katanya.

Sofi juga berjanji akan memberikan sepenuh komitmen seperti yang dipersembahkan dalam karya sebelum ini.

“Orang yang pernah bekerja dengan saya tahu cara kerja saya macam mana. Saya bukan jenis kaki merungut atau banyak komplen. Kalau pengarah kata ‘action’ saya akan beri sepenuh hati.

“Tanggungjawab diberikan saya cuba laksanakan sebaik mungkin. Walaupun sebelum itu perlu menunggu lama untuk menjayakan sesuatu babak, saya okey saja,” katanya.

Selain Sofi, filem yang bakal memulakan penggambaran pada 18 Julai ini turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Jay Izwazir.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 12:34pm
d