rap

Dapat balik RM15,000

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Mawar Rashid bersyukur apabila berjaya mendapat kembali RM15,000 miliknya selepas ditipu wanita yang dikenali.

Mawar ketika ditemui Harian Metro berkata, selepas tampil membuat laporan polis dan mendedahkan kepada pihak media, wanita terbabit menghubunginya untuk memulangkan wang yang dicuri.

“Alhamdulillah wanita berkenaan sudah pulangkan duit saya pada awal Julai lalu. Saya bersyukur apabila duit untuk 'job' yang saya buat membabitkan iklan makanan segera pada Oktober tahun lalu sudah dikembalikan.

“Bagaimanapun saya tidak tahu nasib selebriti lain yang mendakwa turut ditipu oleh wanita ini. Saya berharap dia sedar akan kesilapannya dan pulangkan semua duit yang diambil," katanya.

Menurut Mawar, sejak peristiwa terbabit dia cukup berhati-hati ketika menerima sesuatu tawaran daripada mana-mana individu.

“Jika kawan yang dikenali tergamak untuk menipu apatah lagi orang luar. Tambahan pula, bekerja dalam bidang seni ini kita bertemu dengan ramai orang baru.

“Namun selepas apa yang saya lalui, saya akan jadi lebih berhati-hati dan tidak akan mudah untuk percaya orang," katanya.

Terdahulu, Mawar mendakwa mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila ditipu oleh wanita yang dikenalinya.

Mawar turut mendakwa wanita itu turut menipu beberapa selebriti lain seperti Izzue Islam, Raja Ilya dan Chacha Maembong.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 6:20pm
d