rap

Shah tak makan pujian

Oleh Ardini Sophia Sina

Hampir tiga tahun dalam industri seni tanah air, kanvas seni pelakon baru Shah Hazvee semakin berwarna apabila turut sama menjayakan drama Monalisa yang sudah melabuhkan tirai pada minggu lalu.

Drama rantaian itu membantu meningkatkan popularitinya, malah jumlah pengikutnya di laman sosial turut naik mendadak.

Namun, itu bukanlah ukuran pada kejayaannya sebagai pelakon.

Selepas setahun bekerja di belakang tabir, Shah buat pertama kali cuba berlakon menerusi filem Pinjamkan Hatiku.

Ketika itu, dia adalah orang baru yang tidak tahu apa-apa.

Namun, dia bersyukur laluannya sebagai pelakon semakin mudah dan lancar. Dia berharap terus diberikan peluang untuk membawa lebih banyak watak berat.

“Saya bersyukur kerana diberikan peluang membintangi drama Monalisa. Ia sangat membantu dalam menaikkan lagi kerjaya saya yang baru bermula. Memang pengikut di laman sosial juga bertambah.

“Alhamdulillah, ramai yang menyukai lakonan saya. Namun, saya tidak hanya melihat pada pujian semata-mata, saya juga terbuka untuk menerima kritikan.

“Sama ada komen positif atau negatif, kedua-duanya memberikan panduan supaya saya dapat lihat kelebihan dan kekurangan. Mana yang kurang, saya betulkan. Yang sudah okey, saya tingkatkan lagi,” katanya.

Pemuda berusia 22 tahun ini menggunakan masa di lokasi penggambaran sebaik mungkin untuk terus melihat dan memerhatikan cara pelakon lain bekerja demi ilmu untuk diri sendiri.

Ceritanya, sepanjang penggambaran Monalisa, dia sanggup duduk dan melihat babak pelakon lain walaupun ketika itu ia tidak membabitkan dirinya. Dengan cara itulah Shah belajar memperbaiki lakonannya.

Katanya, walaupun ada antara orang terdekat memuji bakatnya, dia akan mencuri masa menonton semula setiap karya dibintanginya agar dapat menilai teknik lakonan sendiri.

“Apabila saya berlakon, saya rasa sudah okey tetapi apabila ditonton semula, rupanya ada banyak ruang untuk betulkan lakonan saya. Mungkin orang lain puji untuk ambil hati jadi lebih baik saya tonton sendiri.

“Banyak sebenarnya yang saya tidak puas hati. Reaksi muka, lontaran dialog dan ada sedikit pada bahasa tubuh yang perlu saya perbaiki. Saya juga perlu fokus pada emosi agar penonton turut sama merasai perasaan ketika itu,” katanya.

Langkah Shah dalam bidang seni bermula dengan pertemuannya dengan pengarah Osman Ali.

Katanya, pengarah itulah yang memberikan dia peluang untuk berlakon serta memberikan nasihat untuk bekerja di belakang tabir sebelum terjun ke dunia lakonan.

Dia terfikir untuk memasuki kelas lakonan namun kekangan kewangannya membuatkan dia menangguhkan niat buat sementara waktu.

“Saya memang ingin masuk kelas lakonan dan belajar daripada pelakon hebat tanah air. Tetapi, saya pun baru mula bekerja dan mengumpul harta sendiri. Buat sementara waktu, saya banyak belajar di lokasi penggambaran dengan melihat cara lakonan pelakon lain.

“Namun, apabila kerjaya saya sudah stabil, saya akan masuk kelas lakonan kerana masih banyak yang perlu saya tahu. Saya mengimpikan untuk menuntut ilmu daripada pelakon hebat tanah air seperti Wan Hanafi Su,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 4:29am
d