rap

Shahzril mahu tambah kenalan

Oleh Michelle Gun

Mungkin ada yang tidak mengenali Shahzril Ahmad yang pernah berlakon dalam beberapa drama dan telefilem tanah air.

Ini mungkin kerana namanya jarang dipaparkan dalam media walaupun sudah menceburi bidang seni sejak 2012.

Malah, suatu ketika dulu, pelakon berusia 29 tahun ini pernah menjadi bualan hangat ramai berikutan kontroversi membabitkan seorang penerbit.

Masalah kesihatan bapa selain komitmen terhadap kerja tetap menyebabkan anak muda ini sukar fokus terhadap karier lakonan.

“Lakonan pertama saya dalam drama TV3 berjudul Hujan pada 2013. Sepanjang tempoh enam tahun ini, saya sudah beberapa kali berehat daripada lakonan kerana masalah peribadi. Selain itu, saya juga mempunyai kerja tetap.

“Pada 2016, saya tidak menerima tawaran berlakon kerana mahu menjaga bapa yang menghidap kencing manis,” katanya.

Menurut peserta Hero Remaja 2012 ini, tawaran berlakon sentiasa datang, namun terpaksa menolak kerana bimbang sukar memberi komitmen.

“Kalau berlakon drama, saya terpaksa tolak kerana waktu penggambaran lama. Sekiranya telefilem, saya boleh meminta cuti kerja kerana penggambaran cuma beberapa hari,” katanya.

Menurut Shahzril yang kini bekerja sebagai pegawai pentadbir sebuah jabatan kerajaan, dia kembali aktif berlakon kerana keadaan sudah mengizinkan.

“Selepas bapa meninggal dunia tahun lalu, saya dan adik-beradik perlu bergilir-gilir balik kampung di Melaka untuk menjaga ibu.

“Ketika itu, saya perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada keluarga selain ada tanggungan.

“Sekarang, keadaan keluarga sudah stabil dan saya sudah ada masa untuk fokus terhadap lakonan,” katanya.

Shahzril memberitahu bertuah apabila rezeki lakonan datang menerusi drama bersiri Mencari Kiblat yang dijangka bersiaran di TV3 pada September ini.

Mengenai kontroversi lalu, Shahzril mengakui isu terbabit sedikit sebanyak menjejaskan karier seninya.

“Ketika itu saya masih muda dan baru menceburi bidang lakonan.

“Nasib saya kurang baik kerana isu terbabit tercetus disebabkan pihak ketiga.

“Disebabkan kontroversi itu, saya mengambil keputusan berehat sebentar sebelum kembali dalam telefilem Sebuah Pangkin Kayu pada 2014.

“Hubungan saya dengan penerbit itu baik-baik saja dan menganggap isu terbabit sebagai salah faham,” katanya.

Dengan kehadiran ramai pelakon baru sekarang, Shahzril memberitahu tidak rasa terjejas sebaliknya mempunyai cara tersendiri untuk mengukuhkan nama.

“Bagi saya, paling penting adalah komunikasi baik dengan penerbit dan pengarah.

“Memandangkan sudah lama meninggalkan industri seni, saya perlu tambah kenalan,” katanya.

Selain berlakon, Shahzril memberitahu dia aktif sebagai model untuk pakaian pengantin serta baju kurta sepanjang Ramadan lalu.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 4:52am
d