rap

'Nikah bukan sebab duit dia'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON Ariff Aziz, 29, menafikan dia mengahwini penerbit, Datuk Zaidah Awang , A Aida, 47, kerana duit atau kekayaan dimiliki wanita itu.

Sebaliknya, Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz berkata, dia menyunting Aida sebagai suri hatinya kerana benar-benar menyayangi wanita itu.

Katanya, Aida yang memiliki tiga anak dari perkahwinan terdahulu itu mempunyai kecantikan luaran dan dalaman.

Biarpun sedar ramai pihak skeptikal sebaik Aida mengumumkan mereka bakal bernikah, jejaka itu menegaskan bahawa dia sudah memiliki harta sebelum bertemu isterinya .

"Saya memiliki pendidikan tinggi dalam bidang multimedia. Sebelum ini pun saya bekerja. Saya ada kereta dan rumah yang saya beli sendiri," katanya.

Pasangan itu selamat dinikahkan di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya, malam tadi.

Majlis disaksikan keluarga juga teman rapat kedua-dua belah pihak.

Pada majlis itu, Ariff menyerahkan mas kahwin RM300, dan wang hantaran RM20,000 di samping hadiah seperti cincin jenama Cartier seberat 1.42 karat dan beg tangan jenama Hermes.

Sementara, pengantin perempuan menyerahkan hadiah jam tangan jenama Hublot, cincin, beg bimbit jenama Louis Vuitton dan wangian jenama Chanel No 5.

Sementara itu, Aida ketika ditemui berkata, dia terasa seperti kali pertama mendirikan rumahtangga.

"Sebelum ini, perkahwinan (terdahulu) saya majlisnya seperti perkahwinan 'koboi'. Berbeza kali ini, majlis sangat indah dan begitu sempurna," katanya.

Seperti pasangan pengantin yang lain, dia turut mengharapkan pernikahan kali ini akan kekal bahagia sehingga akhir hayat.

Aida sebelum ini pernah tiga kali berumahtangga termasuk perkahwinannya dengan penyanyi utama kumpulan Spring, Ameng dan dikurniakan tiga orang anak melalui dua perkahwinan terdahulu.

Majlis resepsi dijadual akan diadakan di rumah peranginan milik Aida di Janda Baik, Pahang pada 20 April 2019 sempena tarikh hari lahir penerbit dan pelakon itu.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 12:08am
d