rap

Grafik pukau penonton

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Dua rendisi sebelum ini mempunyai kelebihan tersendiri menarik perhatian penonton dewasa. Terutama penceritaan, komedi, perwatakan, momen, lakonan malah lagu runut yang melatari naratif.

Sehinggakan peminat beranggapan jenama itu berpotensi dijadikan sebuah karya yang sesuai untuk seisi keluarga kerana pesanan positif yang diselit ke dalam naratif.

Malangnya, tatkala rendisi ketiga kembali, jenama Hotel Transylvania seolah-olah hilang taring menarik penonton dewasa ke pawagam.

Antaranya, klise naratif dan watak terlalu menyerlah, kejutan hubungan antara watak antagonis dan protagonis sudah dijangka.

Bukan tidak ada filem mempunyai naratif serupa, cuma pengarah sepatutnya lebih bijak mengemudi dengan suntikan elemen yang boleh mengaburkan kelemahan itu.

Sebagai contoh, dengan menyelitkan lagu runut yang menghiburkan serta bersesuaian dengan babak atau elemen kejutan yang lebih terperinci melalui perwatakan atau momen.

Malangnya, semua sisi itu diketepikan tanpa rasa bersalah.

Pengarah sekadar menyelitkan segala elemen mengikut buku, bukan kreativiti.

Walaupun lemah di segi dialog, penceritaan dan kejutan, filem animasi ini tetap wajar dipuji kerana grafik yang memukau.

Warna dan perincian watak lebih menyerlah berbanding dulu sehinggakan setiap helaian rambut, bulu, mimik wajah mahupun asap kelihatan meyakinkan.

Tarikan inilah yang akan menjadikan filem Transylvania menarik di mata penonton kanak-kanak, itu saja.

HOTEL TRANSYLVANIA 3: A MONSTER VACATION

• ARAHAN: Genndy Tartakovsky

• PELAKON: Adam Sandler, Andy Samberg, Selena Gomez

• GENRE: Animasi komedi

• TAYANGAN: 19 Julai 2018

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 1:52am
d