rap

Semoga cepat sembuh, Fatin Afeefa

Oleh Ardini Sophia Sina

MESKIPUN belum sembuh sepenuhnya, namun pelakon Fatin Afeefa yang baru saja menjalani pembedahan apendiks pada Jumaat lalu akan kembali ke lokasi penggambaran, esok.

Fatin yang baru saja keluar hospital pada petang hari ini diberikan cuti sakit selama dua minggu, tetapi dia enggan menyusahkan pihak produksi, kru dan pelakon yang menjayakan drama Jodoh Jodoh Anissa.

“Saya lega kerana sudah boleh balik, hari ini. Doktor beri saya 14 hari cuti tetapi saya tidak boleh buat apa-apa kerana komitmen pada kerja.

“Esok saya akan kembali semula bekerja seperti biasa. Saya tidak mahu menyusahkan produksi, kru dan pelakon lain yang turut menjayakan drama berkenaan.

“Lagipun, babak yang saya lakonkan tidaklah berat hingga memerlukan saya berlari. Saya rasa saya boleh buat,” katanya.

Terdahulu, Fatin mengalami sakit perut pada Khamis lalu sebelum dia bergegas ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya pada keesokkannya dan dibedah pada hari sama.

Memuat naik gambar di Instagram selepas selesai menjalani pembedahan apendiks, ramai pengikutnya memberi ucapan untuk kesembuhan pelakon berkenaan.

“Terima kasih atas doa dan ucapan yang sudah diberikan. Saya minta maaf kerana tidak dapat membalas satu persatu. Bagaimanapun, saya hargai keprihatinan anda,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 6:23pm
d