rap

Wanna One cairkan 15,000 penonton

Oleh Georgie Joseph

Menjadi antara kumpulan K-Pop yang versatil, Wanna One tidak pernah gagal memberikan kenangan indah buat peminat mereka setiap kali mengadakan konsert.

Sabtu lalu, kumpulan berkenaan yang menjayakan konsert siri jelajah dunia One: The World in Kuala Lumpur menghangatkan pentas di Axiata Arena dengan cara tersendiri.

Wanna One yang dianggotai Kang Daniel, Park Ji-hoon, Lee Dae-hwi, Kim Jae-hwan, Ong Seong-wu, Park Woo-jin, Lai Kuan-lin, Yoon Ji-sung, Hwang Minhyun, Bae Jin-young dan Ha Sungwoon ternyata sangat berbisa.

Bukan saja hebat dalam nyanyian dan tarian, aura setiap anggotanya sangat kuat sekali gus mencairkan hati penonton pada malam itu.

Dihadiri lebih 15,000 peminat, semestinya Wanna One paling dinantikan di Malaysia memandangkan kumpulan berkenaan paling menyerlah mutakhir ini.

Ia terbukti sendiri menerusi konsert berkenaan yang nyata sangat berbaloi buat peminat. Tidak sia-sia mereka beratur awal demi menyaksikan kumpulan kesayangan mereka itu.

Sebaik muncul di atas pentas tepat jam 8.05 malam, suasana terus bertukar hangat apabila peminat riuh bersorak kegembiraan.

Tidak perlu berlengah, Wanna One terus membuka persembahan dengan lagu berhantu mereka Burn It Up dengan koreografi yang begitu bertenaga. Sekali gus, peminat bersorak keriangan apabila lagu itu dinyanyikan.

Kegilaan peminat mereka memang maksimum apabila masing-masing menunjukkan keterujaan padahal ia baru bermula. Masing-masing menjerit nama anggota kesukaan mereka.

Berbanding kehadiran mereka pada Januari lalu, konsert kali ini memang sangat mengagumkan. Daripada pentas, penataan cahaya, bunga api dan skrin gergasi semuanya dibuat secara terperinci.

Paparan video yang digunakan sebagai selingan sementara mereka ke belakang pentas juga cukup menarik perhatian penonton.

Pastinya masih terbayang insiden sewaktu kunjungan terdahulu apabila Wanna One tidak henti mengingatkan penonton agar menjaga keselamatan masing-masing.

“Kami mahu anda berhibur dan berseronok namun pada masa sama anda perlu menjaga keselamatan. Keselamatan anda adalah keutamaan kami,” kata mereka.

Sebagai kumpulan yang sangat dikenali dengan bakat versatil, setiap anggotanya juga tidak ketinggalan menunjukkan bakat lain yang mereka ada.

Beberapa anggotanya berjaya mengagumkan penonton dengan tarian yang begitu mempesonakan. Begitu juga anggotanya yang berjaya memukau penonton dengan bermain instrumen muzik seperti piano dengan cemerlang.

Daripada segi nyanyian, sememangnya masing-masing dikurniakan vokal yang cukup hebat. Daripada lagu rancak kepada balada, kemerduan suara mereka diakui ramai.

Menyentuh soal stamina, apa yang diberikan sungguh luar biasa. Walaupun nampak seperti kepenatan dan berpeluh, ia langsung tidak mencacatkan persembahan mereka.

Pada konsert yang dianjurkan IMC Live itu, Wanna One mempersembahkan rangkaian lagu hit mereka termasuk Wanna, Boomerang, Light, Beautiful, Energetic dan I Promise You.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 12:09pm
d