rap

Tash Yong dakwa kena 'sabo'

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Tash Yong, 28, terkilan apabila didakwa meletak harga tinggi untuk bayaran lakonannya meskipun tidak tergolong dalam kelompok selebriti popular.

Tash berkata, dia juga sudah kenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memburukkan nama dan reputasinya.

“Saya kesal kerana ia perkara yang tidak betul disebarkan hingga pernah terlepas beberapa peluang untuk projek lakonan ditawarkan.

“Itu belum lagi, pihak terbabit beritahu saya nama sukar dicadangkan kepada pihak produksi kerana kurang popular.

“Saya sedar diri. Jadi, untuk karier seni lakonan saya memang diurus sendiri kerana lebih mudah,” katanya.

Tash atau Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, dia tidak tahu motif sebenar pihak berkenaan mahu ‘menabur pasir’ dalam karier seninya.

“Kenapalah sanggup sebar perkara tidak betul mengenai saya. Apa masalah anda dengan saya sebenarnya.

“Apakah disebabkan saya kurang bercampur-gaul dalam industri hiburan ini menjadi punca saya tidak wajar mendapat peluang,” katanya.

Bagaimanapun, Tash berkata, rezeki itu milik Allah SWT dan masih ada rezeki buatnya untuk drama Elegi Hati Keisha siaran RTM.

Katanya, dia akan masuk ke lokasi penggambaran sekitar September nanti termasuk berlakon filem seram, Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hasim pada hujung Julai ini.

Antara drama pernah dibintangi Tash ialah Dia, Shhh.. I Love You, Menantu Tintong, Raisha, Geng Tadarus dan Ustazah Pencen.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 7:58pm
d