rap

Tolak 10 tawaran berlakon

Oleh Ardini Sophia Sina

Naim Daniel antara anak muda berbakat yang ada masa depan cerah dalam industri seni muzik tanah air. Jejaka berusia 21 tahun ini membuktikan kemampuannya membawakan pelbagai genre lagu.

Pemilik nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin ini memulakan kembara seni sebagai pelakon. Lebih 10 tahun bergelar pelakon, tiba masanya pemuda itu mencuba sesuatu yang baru.

Kata Naim, nyanyian adalah periuk nasi baharunya. Dia ingin memberikan laluan ke bidang nyanyian dan memperlahankan rentak dalam dunia lakonan buat sementara waktu.

Terpaksa menolak 10 tawaran lakonan, Naim bagaimanapun tidak berasa ralat. Namun begitu, awalnya timbul rasa kurang selesa kerana terpaksa menghampakan pengarah dan produksi yang mahu dia berlakon dalam karya mereka.

“Buat masa ini, bidang nyanyian adalah keutamaan. Apabila cubaan pertama menerusi lagu Sekali Lagi mendapat sambutan positif, saya lebih bersemangat meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

“Bukan mudah saya perlahankan momentum dalam lakonan kerana ia kerjaya pertama. Lagipun, lebih 10 tahun saya mencari rezeki sebagai pelakon. Memang agak sukar tetapi saya harus buat pilihan,” katanya.

Katanya, itu adalah pengorbanan yang harus dilakukan agar dapat meneroka pelbagai cabang seni.

Dia lega, pihak produksi faham fokus utamanya ketika ini. Mula dikenali menerusi drama Anak Buloh Betong, Naim kini rancak mempromosikan naskhah kedua berjudul Sempurna.

“Saya sudah lama meminati nyanyian. Syukur, single pertama saya diterima dengan baik. Saya mengharapkan naskhah kedua yang bakal dilancarkan pada Ogos nanti turut mendapat sambutan serupa.

“Saya berterima kasih atas sokongan peminat dan memberikan maklum balas positif terhadap lagu dan cara nyanyian saya. Saya mengharapkan sokongan mereka akan berterusan,” katanya.

Merasakan dirinya belum cukup popular, Naim mengakui pernah terfikir untuk melakukan sesuatu agar namanya tular. Namun, dia menyedari perkara itu bukanlah tindakan bijak.

Kata Naim, sepanjang bergelar artis, dia tidak pernah terpalit kontroversi.

“Sekarang zaman media sosial. Platform itu memainkan peranan penting untuk membolehkan seseorang tular. Ia adalah medium yang pantas untuk menyebarkan isu tertentu.

“Saya ada terfikir untuk buat sesuatu agar lebih dikenali tetapi apabila difikirkan semula, rasanya tidak perlu pun saya mencetuskan kontroversi. Lebih baik kalau umum mengenali saya kerana bakat,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 12:09pm
d