rap

Penantian 3 tahun untuk Terbang

Oleh Norhayati Nordin

Jika diukur dari sejarah penubuhan, kumpulan TreeHill sudah hampir empat tahun ditubuhkan sejak Disember 2014.

Malah, kira-kira sebulan selepas ditubuhkan, TreeHill yang juga anak didik Zimi Sofazr ini sudah merakamkan single pertama berjudul Terbang.

Bagaimanapun, hanya selepas tiga tahun dirakam baru kini kumpulan dianggotai Sab (penyanyi), Arash (gitar), Harryparen (gitar) dan Aiman (dram) ini bersedia melancarkan single terbabit.

Aiman selaku ketua kumpulan berkata, Zimi meminta mereka bersabar walaupun lagu Terbang sudah lama disiapkan.

“Kami sangat bersyukur kerana akhirnya single Terbang dapat dilancarkan. Selama tiga tahun kami diminta bersabar oleh Abang Zimi. Dalam tempoh itu, TreeHill banyak diberi pendedahan mengenai bidang muzik dan membuat latihan,” katanya.

Berusia awal 20-an, mereka kini masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam beberapa jurusan.

Terbang yang dicipta Zimi dan lirik oleh Hang Nadim kini dilihat berjaya mengetengahkan bakat Tree Hill.

Penyanyinya, Sab, pula berkata, bekerja dengan Zimi dan Hang Nadim adalah pengalaman berharga buat Tree Hill.

“Sama ada Abang Zimi dan Hang Nadim, mereka berdua sudah ada pengalaman dalam bidang muzik manakala saya bersama tiga rakan lain masih baru dan sangat perlukan bantuan individu berpengalaman.

“Mendapat bimbingan Abang Zimi dan Hang Nadim, satu peluang keemasan buat TreeHill untuk mengetengahkan bakat seni kami,” katanya.

Bergenre pop, video muzik rasmi single Terbang yang dimuat naik di YouTube sejak dua minggu lalu sudah mencatat lebih 200,000 tontonan.

Malah, ia juga sudah mendapat tempat dalam carta lagu popular di stesen radio swasta tanah air.

Mengulas mengenai sambutan baik pendengar, Harryparen pula berkata, TreeHill menganggapnya sebagai rezeki.

“Kami hanya mampu ucapkan terima kasih dan tidak sangka Terbang dapat diterima baik dan positif.

“Sebagai kumpulan baru, kami pada mulanya agak berdebar juga memikirkan bagaimana penerimaan pendengar,” katanya.

Harryparen berkata, melihatkan single itu sudah memasuki carta radio, TreeHill mampu berasa lega.

Berbicara soal persaingan, Arash berkata, kemunculan TreeHill sekadar mewarnai bidang muzik tanah air.

“Kami tidak pernah terfkir mahu bersaing dengan kumpulan lain kerana yakin sokongan peminat. Kami hanya mahu mengetengahkan minat dan bakat dalam bidang muzik diceburi,” katanya.

Menurut Arash, peminat masa kini bersikap terbuka apatah lagi kebanyakan kumpulan muzik sekarang memiliki aura tersendiri.

bJadikan Akim & The Majistret inspirasi

Memandangkan TreeHill banyak mendapat pendedahan dengan Zimi dan Hang Nadim, apakah Akim & The Majistret menjadi inspirasi mereka?

Mengulas mengenainya, Aiman tidak menafikan dan berharap TreeHill mampu berjaya seperti Akim & The Majistret.

“Kami meminati Akim & The Majistret dan menyimpan impian mahu berjaya seperti mereka. Bagaimanapun, TreeHill tetap sedar kejayaan takkan datang bergolek begitu saja tanpa usaha gigih dilakukan.

“Apa yang kini TreeHill rancang adalah melipatgandakan usaha membuat promosi Terbang. Malah, kami juga menaruh harapan semoga Terbang dapat bersaing dalam Muzik Muzik 33,” katanya.

Ditanya apakah sasaran TreeHill adalah mencari peluang untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL)?

Aiman berkata, memang itu adalah impian paling besar TreeHill walaupun tahu semuanya bergantung kepada rezeki.

“Tidak salah untuk TreeHill meletakkan impian. Ia secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat buat kami.

“Kami melihat prestij pentas AJL ini sangat besar. Malah, tidak semua penyanyi mendapat peluang beraksi di AJL,” katanya.

Mengakui menjadikan kejayaan Akim & The Majistret sebagai pengukur, Aiman berkata TreeHill akan berusaha.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 12:14pm
d