rap

Kalau berdiri, mereka belakang saya! - Misha

Oleh Sudirman Mohd Tahir

AKSI penyanyi Misha Omar menyanyi sambil duduk ketika mendendangkan lagu terbarunya Sampai Bila pada program MeleTop, semalam hangat diperkatakan netizen di media sosial.

Misha atau Samihah @ Aisah Omar, 36, dihubungi berkata, alsan dia berbuat demikian kerana enggan membelakangkan pengacara program itu, Neelofa dan Nabil.

"Saya memang nak menyanyi berdiri, tetapi menyedari Lofa dan Nabil duduk di situ, saya berasakan tidak manis jika membelakangkan mereka.

"Jadi, dalam segan saya duduk juga sambil menyanyi. Tidak menjangka pula perkara ini menjadi bualan peminat di Instagram dan Twitter. Malu saya dibuatnya," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Misha mengakui terharu membaca setiap komen ditulis peminat terhadapnya.

"Pada mulanya, saya tidak tahu perkara ini menjadi besar dalam kalangan peminat. Selepas dimaklumkan, baru saya berpeluang baca satu persatu.

"Sejujurnya, saya sangat terharu. Alhamdulillah, saya gembira. Terima kasih kepada yang menonton dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Misha turut berkongsi kakaknya, Mimie Omar yang juga pengurusnya bengang kerana dia menyanyi sambil duduk.

"Saya minta Mimie sediakan kasut tumit tinggi sebab nak nampak cantik apabila berdiri. Sedangkan pada awalnya dia nak berikan 'sneakers'.

"Apabila saya menyanyi sambil duduk, dia bising tetapi secara bergurau," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 3:36pm
d