rap

'Biar Poland rasa semangat Malaysia'

Oleh Najiy Jefri

PELAKON, Sanjna Suri, 26 bakal mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss Supranational 2018 di Warsaw, Poland pada Disember depan.

Pembabitan gadis kelahiran Ipoh, Perak itu adalah wakil pertama Malaysia bertanding dengan calon negara-negara lain.

Sanjna berkata, dia teruja dan berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Saya sangat teruja diumumkan sebagai wanita pertama yang bakal menyertai pertandingan yang sudah memasuki edisi keempat itu. Semestinya tawaran ini adalah impian setiap wanita untuk menjadi wakil Malaysia ke pentas dunia dan kini impian itu menjadi nyata.

"Meskipun ramai tidak mengenali saya tetapi orang luar mengenali negara Malaysia, jadi semangat itu yang akan saya bawa untuk bertanding di Poland nanti," katanya ditemui pada majlis pemahkotaan Miss Supranational Malaysia 2018 di Suka Sucre Bistro, Kuala Lumpur.

Menurut Sanjna, dia kini giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan dirinya dapat bersaing dengan wanita jelita dari negara lain.

"Apa yang penting, saya pastikan persiapan dari segi mental kerana pertandingan ini mempertaruhkan ramai wanita jelita dari seluruh dunia. Jadi saya perlu sentiasa yakin dengan diri supaya dapat memikat hati juri nanti.

"Biarpun saya akui sedikit gementar tapi pertandingan ini adalah motivasi kepada saya untuk melakukan yang terbaik selain ingin memberi inspirasi kepada wanita dari Malaysia," katanya.

Pada pertandingan itu, Sanjna bakal memperagakan busana rekaan Anuar Faizal dan barangan kemas Amme Philips bernilai RM1.5 juta.

Miss Supranational menyaksikan wakil dari Fipilina, Mutya Datul dinobatkan sebagai juara pertama pada tahun 2013.

Manakala Asha Bhat (India), Stephania Stegman (Paraguay), Srinidhi Shetty (India) dan Jenny Kim (Korea) pernah dinobatkan juara pada edisi berikutnya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 5:21pm
d