rap

Sedia berdepan undi Big Stage

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Andi Bernadee tidak kisah jika peminat mengundi atas faktor penampilan dan rupa paras dimiliki menerusi pembabitannya dalam program realiti Big Stage.

Andi, 27, atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berkata dia tetap yakin dengan bakat dimiliki dan ingin membuktikan kemampuan diri dalam pertandingan itu.

"Walaupun format penjurian program ini menggunakan khidmat juri profesional sepenuhnya tetapi peminat berpeluang mengundi apabila artis kegemaran mereka berada pada kedudukan tiga terbawah.

"Sekiranya saya dalam kedudukan itu dan peminat mengundi disebabkan rupa paras dan penampilan, bagi saya bagus juga. Cuma, buat waktu ini saya tidak mahu mereka menilai terlalu awal.

"Saya tetap akan membuktikan bakat dan penampilan dimiliki adalah selari. Saya tidak mahu orang cakap menyanyi sekadar jual rupa," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai pembabitan dalam program itu, Andi yang popular menerusi lagu nyanyian semula Tak Tun Tuang berharap diberikan cabaran menyanyikan lagu bahasa asing.

"Ini pertama kali saya terbabit dalam program realiti. Saya berharap dapat memberiakan persembahan memukau. Sekurang-kurangnya saya ingin menonjolkan siapa saya sebenarnya.

"Untuk mendapatkan kepercayaan orang, kalau boleh saya ingin mencabar diri menyanyikan lagu daripada genre berbeza setiap minggu dengan susunan muzik yang lebih segar.

"Kalau diberikan lagu bahasa asing lagu saya okey. Malah, saya berharap diberikan lagu berkenaan," katanya.

Selain Andi, penyanyi lain yang turut terbabit adalah Syafiq Farhain, Afieq Syazwan, Ariff Bahran, Tajul, Baby Shima, Fara Hazel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Program yang menggandingkan Alif Satar dan Sherry Al Hadad selaku pengacara itu turut menampilkan penyanyi hebat, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir sebagai juri tetap.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 2:11pm
d