rap

Konsert kumpulan TWICE batal

Oleh Georgie Joseph

AGENSI pengurusan artis Korea Selatan, JYP Entertainment mengumumkan pembatalan konsert kumpulan TWICE yang sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, 8.30 malam ini.

Menerusi kenyataan rasmi agensi berkenaan, konsert TWICELAND ZONE 2: Fantasy Park in Kuala Lumpur berkenaan terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

“Dengan penuh dukacitanya, kami ingin memaklumkan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai dibatalkan atas faktor keselamatan di lokasi konsert.

“Kami meminta agar semua faham bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan artis serta penonton yang menjadi keutamaan kami.

“Semestinya kami sangat sedih untuk membuat pengumuman ini kepada semua peminat yang ternanti-nantikan TWICE. JYP Entertainment dan TWICE akan bekerja keras selepas ini,” kata kenyataan agensi berkenaan, malam tadi.

Terdahulu, TWICE yang dianggotai Nayeon, Jeongyeon, Momo, Sana, Jihyo, Mina, Dahyun, Chaeyoung dan Tzuyu itu hadir pada sidang media di ibu negara, semalam.

Mereka sempat berkongsi keterujaan untuk bertemu peminat di Kuala Lumpur selain gembira akhirnya dapat berkunjung ke Malaysia buat pertama kali.

“Kami gembira akhirnya dapat melangsungkan siri jelajah dan diperkenalkan ke seluruh dunia. Kami sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat di sini,” kata anggotanya.

TWICE menerusi Twitter turut berkongsi mengenai pengumuman pembatalan berkenaan dan menyertakan pautan kenyataan rasmi.

TWICE ditubuhkan pada 2015 dan popular dengan lagu hit termasuk TT, What Is Love, Likey, Heart Shaker, Dance The Night Away, Candy Pop, Knock Knock, Signal, Like Ooh Ahh dan banyak lagi.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 12:10am
d