rap

Fattzura, Emma rangkul dua trofi

Oleh Michelle Gun

MALAM kemuncak Anugerah Telenovela 2018 menyaksikan pasangan pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura masing-masing membawa pulang dua trofi menerusi gandingan mereka dalam filem Wanita Terindah dan drama Hero Seorang Cinderella.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu tidak dapat hadir ke acara berlangsung Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi kerana berada di Singapura.

Nur Fazura memenangi Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pelakon Filem Popular.

Manakala Fattah menerima trofi bagi kategori Pelakon Lelaki Telenovela Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular.

Karya Wanita Terindah arahan Joon Goh turut memenangi anugerah Novel Popular dan Filem Popular.

Pelakon Emma Maembong pula dinobatkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik serta Pelakon Serba Dinamik dan Komited.

Pelakon, Izara Aisyah pula menerima Anugerah Pelakon Wanita Filem Terbaik.

Sementara itu, Tombiruo Penunggu Rimba menang empat trofi apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Penulis Skrip Filem Terbaik dan Lagu OST Filem Terbaik.

Karya Mandatori turut menggondol empat trofi menerusi kategori Telenovela Terbaik, Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik, Pengarah Telenovela Terbaik dan Penulis Skrip Telenovela Terbaik.

Tahun ini, Yayasan Pembangunan Buku Negara memperkenalkan International Telenovela Award yang diberikan kepada Indonesia dan Iran.

Sebanyak 46 kategori dipertandingkan pada acara dengan kerjasama antara Yayasan Pembangunan Buku Negara dan GCE Capital itu.

Acara dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Ippo Hafiz, Asfan Shah, Liya Banks, Afif Tirmizie, Aman Aziz, Firman Bansir, Neera Azizi dan Arill Fesol.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 12:47am
d