rap

'Terima kasih komen filem Pulang'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

FILEM Pulang terbitan Primeworks Studios yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak Khamis lalu berada dalam carta lima teratas terkini di laman sosial Twitter, hari ini.

Selain tanda pagar #PulangTheMovie, judul itu turut berada bersama-sama #GermanGP dan #TwicelandinMY.

Kebanyakan komen pengikut laman sosial itu memuji keberkesanan jalan cerita filem yang diangkat daripada kisah benar pernah dilalui keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

"Saya dapati ramai penonton keluar menonton filem ini membawa bersama ibu-bapa masing-masing.

"Saya gembira kerana ini adalah filem yang dapat dinikmati bersama-sama, walaupun mereka dari generasi berbeza," luah Ahmad Izham di laman sosial Twitter miliknya.

Malah, beliau sebak dengan sambutan serta komen positif menggalakkan diterima daripada penonton tempatan di laman sosial.

Beliau turut berkesempatan melakukan lawatan ke beberapa pawagam bagi melihat sendiri sambutan penonton, antaranya ke Putrajaya, Seri Kembangan dan Seremban, semalam.

Kata beliau, semua pawagam dilawati sejak semalam mendapat sambutan penuh luar biasa daripada penonton tempatan.

Beliau mendedahkan ada ternampak sepasang dipercayai suami isteri menangis teresak-esak pada babak akhir filem itu.

"Ketika berada di GSC Palm Mall Seremban, saya terdengar sepasang lelaki perempuan menangis teresak-esak ketika senarai penghargaan ditayangkan," katanya.

Filem Pulang lakonan Remy Ishak dan Puteri Aishah mengisahkan Othman yang berlayar sebagai kelasi kapal bagi mencari kehidupan lebih baik untuk isterinya, Thom dan anaknya, Omar.

Malangnya pelbagai cabaran menimpa Othman sehingga dia gagal pulang ke pangkuan mereka sehingga ke akhir hayatnya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:30pm
d