rap

Saharul dibenci wanita kerana Shah!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Saharul Ridzwan yang melakonkan watak Shahrizal Hayrat (Shah) dalam drama Jangan Benci Cintaku di slot Akasia TV3 mengakui dibenci golongan wanita terutama yang sudah berkahwin.

Saharul, 29, atau Mohd Saharul Ridzwan Hashim, berkata, mereka bimbang jika suami mengikut jejak Shah yang menduakan isterinya.

"Banyak kawan lelaki saya cakap isteri mereka geram dan marah dengan tindakan Shah. Malah, takut jika suami mereka jadi macam Shah.

"Kebanyakan yang marah dan beremosi adalah wanita. Bagi lelaki pula mereka faham. Bukan saja dalam kalangan rakan, malah ada peminat lelaki mesej perkara sama," katanya kepada Harian Metro.

Saharul yang bergandingan dengan Zahirah Macwilson sebagai Rafeeqa Huda (Feeqa) menyifatkan watak yang dijayakan dalam drama itu adalah realiti kehidupan.

Namun, Saharul berkata isterinya, Deena Emir memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak sama sekali memberikan amaran.

"Jalan cerita dan watak dijayakan dalam drama ini berlaku di luar sana. Apatah lagi watak Shah memang banyak berlaku.

"Macam isteri, dia tidak cakap apa-apa pun. Malah sepanjang drama ini bersiaran tidak pernah pula dia beri amaran supaya jangan jadi macam Shah. Sama ada dia tidak menonton atau dia memang tidak mahu ambil tahu.

"Cuma, saya mengharapkan peminat iaitu wanita jadilah seperti Feeqa. Dia kuat dan tabah meski suami buat salah dalam rumah tangga," katanya.

Dalam masa sama, Saharul juga menasihati kepada golongan wanita jika ada masalah dengan pasangan supaya tidak berkongsi dengan rakan lelaki.

Selain Saharul dan Zahirah, drama ini turut menampilkan Niena Baharun sebagai Husna dan Azizah Mahzan sebagai Nek Pah yang mengundang kemarahan penonton.

Drama adaptasi daripada novel menggunakan judul sama itu adalah arahan Pali Yahya dan berbaki tujuh episod lagi.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:44pm
d