rap

Lagu, jenaka amat menghiburkan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Mengotakan apa yang dijanji. Inilah situasi yang berlaku pada tiga malam persembahan Baik Punya Concert 4D yang berlangsung di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Julai lalu.

Kemampuan Datuk Awie, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk AC Mizal dalam nyanyian sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Namun bagaimana pula nyanyian Datuk Hans Isaac? Apakah dia juga ada vokal yang bagus dan tidak mempertaruhkan wajah kacak semata-mata?

Peminat yang hadir menonton pasti bersetuju Hans sebenarnya boleh menyanyi dengan baik.

Biarpun suaranya tidak setaraf dengan tiga rakan lain, memadailah nyanyiannya tidak sumbang dan mampu menghiburkan peminat.

Ternyata satu kombinasi yang unik dan menarik apabila suara Hans yang ‘berbau’ muzik pop digandingkan dengan Awie yang lebih terarah kepada rock, Afdlin dengan genre R & B dan AC Mizal dengan irama hip hop.

Jujurnya, keserasian empat nama ini ketika tampil dalam filem Baik Punya Cilok sudah cukup menjadi ramuan hebat untuk memikat hati peminat.

Tidak hairanlah apabila pentas dibuka pada jam 9 malam, sorakan dan pekikan peminat mula bergema dari segenap ruang.

Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu dibawa mendengar suara pencerita daripada penglipur lara terkenal yang juga seorang pensyarah seni, Kamrul Hussin dari kumpulan Geng Wak Long.

Penceritaan berkisarkan profil setiap figura ini dan suasana gegak gempita selepas itu apabila Hans tampil menyanyikan lagu Sejati, AC dengan Mia Sara, Awie (Kami Rappers) dan Afdlin (Menaruh Harapan).

Mereka tidak membazirkan masa apabila menyanyikan rangkaian lagu popular iaitu Cuci, Aku Lelaki (Afdlin), Itu Saja/Fiona medley (AC), Learn To Fly (Hans) dan Peronda Jaket Biru.

Dalam kalangan penonton, terselit peminat Wings yang pasti akan bertepuk tangan dan menjerit setiap kali Awie buka mulut menyanyi.

Lagu lain yang dinyanyikan ialah Spendha Longga secara beramai-ramai, Kau Ilhamku (Hans), Belaian Jiwa (beramai-ramai), Rindu Bayangan (Awie), Mulainya Di Sini (Hans dan AC), Janjiku Pada Ummi (beramai-ramai) dan In My Blood (AC).

Mereka juga memilih lagu popular British pada era 80-an iaitu Karma Chameleon(Awie), Sweet Dreams (Afdlin), Shout (Hans), Take On Me (AC), Every Breath You Take (beramai-ramai), Bang, Bang, Bang/ Bole Chudian (beramai-ramai), Bila Resah/Inikah Cinta (Afdlin), Di Penjara Janji dan Baik Punya Cilok (beramai-ramai).

Selain nyanyian, empat sekawan ini juga rancak berceloteh ‘membahan’ antara satu sama lain.

Mereka turut memperkenalkan permainan Kerusi Jahanam apabila semuanya mesti duduk di kerusi itu mengikut giliran ditetapkan.

Sesiapa yang duduk hanya boleh mendengar pandangan, kritikan dan pujian tiga rakan lain tetapi tidak boleh berkata-kata atau menyanggah.

Usik-mengusik di antara mereka juga tidak pernah terhenti dan ini sudah cukup mengundang gelak tawa peminat.

Tidak terkecuali pendedahan panas mengenai punca krisis di antara Hans dan AC turut didedahkan kepada khalayak peminat.

Empat selebriti serba boleh ini juga tidak ketinggalan berkongsi kisah suka duka dan pengalaman jatuh bangun mereka dalam bidang seni.

Dalam suka, terselit juga duka apabila Afdlin dalam nada sebak mengakui amat bersyukur apabila hubungan Hans dan AC yang keruh akhirnya kembali jernih selepas saling bermaafan.

Pulihnya hubungan yang sudah lama terjalin itu membawa berita baik apabila Afdlin membuka mulut mahu menghasilkan sambungan filem Baik Punya Cilok dan disambut tepukan gemuruh peminat yang hadir.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 1:30pm
d