rap

Anuar 'sambung cerita' di Singapura

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Anuar Zain teruja menjayakan Konsert Cinta Takkan Berakhir Live in Singapura di The Star Theatre @ The Star Performing Arts Centre pada 26 Oktober ini.

Anuar berkata, dia bersyukur dan berbesar hati apabila diundang sekali lagi pihak Hype Records selepas kali pertama pada 2015.

"Saya amat teruja dengan tawaran ini kerana sentiasa mahu berkongsi minat terhadap muzik dan memberi yang terbaik kepada semua.

"Saya juga sudah berbincang bersama pengarah muzik iaitu Lee Sze Wan untuk mengubah semula susanan muzik agar lebih segar dan mantap bersesuaian dengan suasana, rasa dan tema konsert ini," katanya kepada Harian Metro.

Anuar yang popular menerusi Lelaki Ini berkata, konsert itu adalah yang pertama selepas melancarkan album terbarunya dua tahun lalu.

"Pada konsert ini, saya akan menyanyikan rangkaian lagu daripada album terbaru.

Menariknya, sebuah lagu dan muzik video baru akan ditayangkan sebagai kesinambungan kepada lagu dan muzik video Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir.

"Sebelum ini, ramai yang bertanya dan tertunggu-tunggu dengan sambungannya. Insya-Allah, mereka yang hadir pada malam itu akan dapat menyaksikan dan mengetahui sambungan cerita berkenaan.

"Paling penting, saya berharap malam itu akan memberikan kenangan yang manis kepada semua peminat dan pencinta muzik," katanya.

Tiket mulai dijual pada 3 Ogos ini dengan harga SGD $228, $188, $158, $128 dan $98 (tidak termasuk yuran

tempahan SISTIC).

Boleh juga didapati di semua outlet SISTIC, hotline 63485555 dan juga secara online di www.sistic.com.sg.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 1:52pm
d