rap

Zalif 'tak berat' macam dulu

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Zalif Sidek, 33, menyahut cabaran #FatChallenge sejak awal tahun ini selepas mendapat inspirasi daripada beberapa rakan artis seperti Vicha Saywho dan Abam Bochey.

"Tahun ini saya dicabar rakan-rakan 'plus size' untuk turunkan berat badan apatah lagi sejak dua tahun lalu tawaran berlakon agak kurang kerana tiada watak bersesuaian disebabkan berat badan berlebihan.

"Apa yang saya buat adalah menjaga pemakanan, melakukan senaman dua kali seminggu serta menjalani kehidupan lebih sihat," katanya.

Pelakon dikenali melalui filem Papa I Love You ini bersyukur hasil usaha keras, dia berjaya menurunkan berat badan daripada 96 kilogram kepada 80 kg.

Malah, dia juga mampu memakai seluar bersaiz 36 sentimenter (cm) berbanding 40 cm selain saiz baju juga berubah daripada saiz XXL kepada saiz L.

Katanya, apabila berlaku perubahan fizikal, dia akui tahap kesihatan menjadi lebih baik.

"Dulu saya ada masalah asma dan agak sukar bekerja dengan produksi yang mempunyai waktu kerja tidak menentu serta melakonkan babak aksi.

"Kini mereka lebih mempercayai saya dan sedari itu rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus," katanya gembira.

Pada masa ini, pelakon kelahiran Terengganu itu dalam penggambaran drama Budak Usin selain bakal muncul dengan drama Destinasi Ukhwah lakonan bersama Fendy Bakri, Ameerul Affendi dan Adam Shahz pada 1 September ini.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 3:16pm
d