rap

Bukan mudah hidup bermadu - Erma Fatima

Oleh Ramlah Zainal

“KAHWIN lagi satu dan hidup bermadu bukannya mudah kerana ia membabitkan tiga individu.

“Jika salah seorang tidak terima dan salah seorang tidak tahu bersyukur atau erti reda, lebih baik lupakan sajalah,” kata pengarah terkenal dan pelakon drama Mak Cun, Erma Fatima.

Erma berkata ketika diminta mengulas perkongsian adiknya, Datin Seri Umie Aida di laman sosial berhubung dirinya membenarkan suaminya berkahwin lagi, Sabtu lalu.

Dalam status dimuat naik di laman sosial, minggu lalu, pelakon filem Dukun itu memberitahu dia merelakan suaminya, Datuk Paduka Seri Khairuddin Abu Hassan berpoligami bagi mengelakkan perkara tidak elok.

Menurut Erma lagi, jika Umie, suami dan bakal madunya okay mereka boleh teruskan untuk berpoligami itu.

“Kalau hanya Umie saja yang okay, tiada gunanya untuk mereka hidup bermadu.

“Bukan madu yang seperti beruk dapat bunga kerana dia perlu sedar dirinya mengambil hak orang lain dan bertolak ansur,” katanya.

Erma ditemui pada sidang media Peniagawati sempens Minggu Fesyen Couture New York, Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Erma lagi, jika bermadu perlulah menghormati hak isteri pertama.

“Sudahlah ambil suami orang. Hargailah hak orang kita ambil itu.

“Dalam hal ini, bukan tidak menyokong hidup bermadu tapi ia berdasarkan pengalaman hidup saya pernah bermadu,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 6:26pm
d