rap

Raja Ilya, Adam terima tauliah APM

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON, Raja Ilya dan Adam Shahz antara empat selebriti tempatan menerima pentauliahan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan.

Mereka menerima tauliah itu pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu (CDERT-Ohhsem Network) APM di Bora Ombak Marina, Putrajaya, hari ini.

Pada majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM YAS TPj (PA) Roslan Wahab, Raja Ilya dianugerahkan Kapten Bersekutu (PA) manakala Adam pula menerima pangkat Leftenan Bersekutu (PA).

Selebriti lain adalah bekas pengacara TV Mejar Bersekutu (PA) Maznah Zolkifli dan anggota kumpulan Simfoni, Leftenan Bersekutu (PA) Mohamad Anas.

"Saya gembira diberi peluang ini dan sangat berterima kasih kepada Ahmad Idham dan Datuk Seri Eizlan Yusof kerana mengajak saya masuk ke CDERT Ohhsem.

"Sepatutnya pertauliahan diterima pada April lalu tetapi kebetulan saya terikat dengan lawatan kerja ke India lantas majlis terpaksa ditunda ke hari ini," katanya.

Ilya berkata tanggungjawab diberikan kepadanya itu akan digunakan untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekiranya berlaku kecemasan.

Pada majlis itu, CDERT Ohhsem melalui Leftenen Kolonel Bersekutu (PA), Ahmad Idham Nadzri dan barisan selebriti turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 disalurkan ke Unit Kesenian dan Kebudayaan APM WP Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 7:31pm
d