rap

FTG, Metalasia di Pulau Pinang

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Keberanian penganjur Rockstage Entertainment menggandingkan dua kumpulan rock otai, FTG dan Metalasia di pentas Rockstage di Dewan Sukan Tertutup, Tawau, Sabah pada 3 Mac lalu ternyata membuahkan hasil positif.

Melihatkan sambutan baik yang diberikan, dua kumpulan ini sekali lagi diberikan peluang beraksi di pentas Rockstage Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 4 Ogos ini di Tapak Pesta Sungai Nibong jam 8 malam.

Wakil penganjur, Talib Othman berkata, selepas Rockstage I tampil dengan tema Malaysian Legendary Metal, Rockstage II dengan tema Sounds Of War dan Rockstage III dengan tema Tirai Perang Borneo, Rockstage IV akan tampil dengan tema Brutal Arise bagi menarik penonton.

“Ini adalah ‘trademark’ kami sebagai tarikan kepada peminat Metalasia dan legenda thrash metal Malaysia, FTG. Phenomistik (As-Sahar) dari Singapura pula akan ditampilkan sebagai artis pembuka tirai konsert ini.

“Rockstage membawakan kumpulan rock yang sukar ditonton di TV terus kepada peminat. Menariknya konsert ini disasarkan di lokasi peminat genre rock itu sendiri.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana harga yang ditawarkan sangat menarik. Hanya satu harga diletakkan tanpa ada pecahan atau zon tertentu.

“Kami lihat, menjelang hari konsert sambutan hebat terus diberikan peminat. Kami amat mengharapkan peminat rock di sebelah utara datang memberikan sokongan,” katanya.

Talib mengakui sambutan peminat akan menjadi pengukur buatnya membawa konsert Rockstage ke lokasi lain selepas ini.

“Dari segi perancangan memang banyak kerana ada pelan nak ke selatan, pantai timur dan pelbagai lokasi lain.

“Buat masa ini kami belum tentukan siapa artis seterusnya yang akan ditampilkan. Cuma kemungkinan besar FTG akan dikekalkan kerana komitmen mereka yang baik,” katanya.

King Shah yang mewakili anggota Metalasia lain iaitu CD Naz, Ritz, Zul, Erwan dan Fariz berkata, sambutan baik peminat sebelum ini membakar semangat mereka untuk beraksi pada konsert di Pulau Pinang.

“Memang tak sangka rocker Sabah sangat menyukai muzik kami dan berikan sambutan hangat. Apabila diberitahu konsert ini dibawa ke Pulau Pinang, kami amat teruja kerana ini kali pertama beraksi di sana.

“Biarpun kumpulan Metalasia dah berusia 21 tahun, kami tak pernah beraksi di Pulau Pinang. Kalau ada pun hanya di Kedah iaitu Sungai Petani dan Alor Setar,” katanya.

Menurut King Shah, mereka membuat sendiri kaji selidik menerusi Facebook mendapati reaksi peminat di Pulau Pinang agak baik.

“Peminat Metalasia memang ramai di sana, namun sayangnya selama ini mereka tak berpeluang tengok aksi kami. Harapnya mereka ambil kesempatan ini dengan hadir menonton konsert ini.

“Kami akan menyampaikan lagu daripada dua album Metalasia dan berharap peminat berpuas hati. Ia bukan persembahan kecil tapi sebuah konsert besar yang pasti menghiburkan,” katanya.

Metalasia akan beraksi selama satu jam setengah dan menyasarkan menyampaikan sekitar 20 lagu.

“Lagu yang dipilih nanti semestinya yang diketahui peminat. Yang penting peminat kena hadir menyaksikan konsert ini.

“Kami sebenarnya amat berbangga kerana dapat beraksi satu pentas dengan FTG. Mereka ibarat otai kerana sudah 30 tahun berada dalam industri seni,” kata King Shah yang berterima kasih kepada Rockstage Entertainment kerana memberikan peluang keemasan ini.

Anggota FTG iaitu Tajul (penyanyi), Jac (gitar), Nizam (dram) dan Mie (bass), mengakui tetap melakukan persediaan rapi antaranya latihan intensif agar persembahan bakal meninggalkan impak besar buat peminat.

“Sabah ibarat pembuka pentas yang baik buat kami. Memang kami sangat berbangga kerana diterima peminat dalam kemunculan sulung di sana.

“Tapak Pesta Sungai Nibong bukanlah asing bagi FTG tapi ikutkan dah hampir 15 tahun kami tak beraksi di Pulau Pinang,” kata Tajul dan Mie.

Menurutnya, mereka pernah beberapa kali diajak beraksi di Pulau Pinang tetapi tiada tawaran yang benar-benar serius daripada penganjur.

“Terima kasih Rockstage Entertainment kerana selepas bawa kami beraksi di Tawau, sekarang sudi bawa kami ke Pulau Pinang pula.

“Peminat di negeri sebelah utara memang minat genre rock thrash metal dan kami percaya Rockstage IV akan mendapat sambutan yang baik nanti.

“Setakat ini sambutan peminat terhadap persembahan FTG di Pulau Pinang tak pernah mengecewakan,” kata Tajul.

FTG sudah merakamkan 11 album studio, dua album cover version dan dua album kompilasi. Hampir semua lagu dinyanyikan dalam bahasa Inggersia kecuali lagu Aku Tak Peduli dan Malaysia Maju disampaikan dalam bahasa Malaysia.

Tiket berharga RM68 boleh didapati di kaunter jualan Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada hari persembahan.

Keterangan lanjut mengenai konsert ini boleh didapati menerusi Facebook Rockstage Entertainment.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 12:22pm
d