rap

'Anggerik tunggu adik lelaki'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Adira yang kini hamil lapan bulan berkongsi bakal melahirkan anak lelaki.

Adira, 27, atau nama sebenar, Siti Adira Suhaimi berkata, dia dijangka bersalin awal bulan depan.

"Alhamdulillah, bayi dalam kandungan sihat. Insya Allah saya akan melahirkan anak lelaki. Apabila dimaklumkan perkara ini, saya sangat gembira. Jadi, cukup sepasang.

"Cuma, sejak kehamilan saya kerap demam. Mungkin ia pembawaan budak. Disebabkan itu, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Kalau keluar pun pergi tempat yang tidak ramai orang.

"Saya juga ambil keputusan berehat daripada menyanyi sejak usia kandungan tujuh bulan. Saya mahu berehat dan fokus kepada kandungan," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai kehamilan kedua itu, Adira berkata dia tidak mengalami alahan teruk sebaliknya selera makan bertambah hingga berat badan naik mencecah 72 kilogram berbanding sebelum ini 42 kilogram.

"Ketika mengandungkan anak sulung, berat badan naik dan saya kelihatan sangat gemuk. Sama macam sekarang. Ditambah pula selera makan bertambah.

"Pada mulanya risau juga kalau terkena kencing manis, tetapi selepas membuat pemeriksaan doktor memaklumkan keadaan kesihatan okey.

"Cuma, untuk proses bersalin nanti saya berharap dapat bersalin normal kerana anak sulung dilahirkan secara pembedahan. Jadi, doakan segalanya dipermudahkan nanti," katanya.

Ditanya mengenai kehidupan rumah tangga bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red, Adira berkata, mereka bahagia bersama.

"Alhamdulillah, kehadiran bakal cahaya mata kedua ini melengkapkan lagi perkahwinan kami. Kehidupan dilalui seperti biasa dan kami okey saja," katanya.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Anggerik pada 10 Mac 2017 yang kini berusia setahun enam bulan.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 2:13pm
d