rap

Khareez puas hati

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun tidak pernah mempertaruhkan bakat nyanyiannya di pentas program realiti TV, rezeki tetap berpihak kepada bakat baru, Khareez Kasbulah.

Apatah lagi, Khareez, 24, sebelum ini pernah memenangi Anugerah Nova Media Social di Anugerah Planet Muzik 2014 (APM 2014).

Bersua dengan pemuda kelahiran Sabah ini, dia nyata menyimpan harapan tinggi untuk single pertamanya, Ikut Hati #WhatIWant.

“Terus-terang, single ini begitu bermakna buat saya kerana mengharapkan ia mampu mengetengahkan bakat nyanyian dimiliki.

“Ditambah pula, saya tidak pernah menyertai program realiti TV yang mencungkil bakat nyanyian. Kemunculan saya untuk menceburi karier seni ini berpaksikan rezeki dan sedikit bakat yang ada. Saya berterima kasih dengan komposer Omar K dan Shazee Ishak kerana sudi bekerjasama,” katanya.

Single Ikut Hati #WhatIWant hasil ciptaan bersama Omar dan Shazee manakala lirik ditulis bersama Shazee dan Khareez.

Khareez atau nama sebenarnya Abd Khareez Kasbulah berkata, untuk percubaan pertama itu dia mempertaruhkan genre pop moden.

Katanya, dia juga berpuas hati dengan penghasilan single itu kerana diberi peluang berkongsi pandangan.

“Pengalaman bekerjasama dengan Omar dan Shazee sangat mudah dan selesa kerana mereka boleh dibawa berbincang.

“Sebagai penyanyi, saya gembira apabila pandangan yang diluahkan boleh diterima mereka dengan baik.

“Saya bukan mahu besar kepala atau cuba menonjol diri, tetapi atas dasar bertanggungjawab pada single itu. Tidak mudah mendapat peluang. Jadi, saya cuba sedaya upaya menggunakannya sebaik mungkin,” katanya.

Dirakamkan pada hujung tahun lalu, single Ikut Hati #WhatIWant terbitan Monkey Bone dilancarkan Khareez pada April lalu.

Muzik video dan lirik lagu rasmi single Ikut Hati #WhatIWant juga sudah dimuat naik di YouTube.

Khareez berharap single Ikut Hati #WhatIWant berjaya menambat hati pendengar muzik tanah air.

Katanya, dia turut mengharapkan single nyanyiannya mendapat peluang disiarkan stesen radio dan mesra pendengar.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 12:25pm
d