rap

Drama tempatan masuk Vietnam

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Selepas tiga tahun tidak menerbitkan drama, syarikat penerbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd milik pelakon Datin Wendy Wong muncul dengan karya Moonlight Saigon.

Menariknya, drama 26 episod itu menggabungkan pelakon popular Cina tempatan dan Vietnam sekali gus menjadikan ia drama tempatan pertama yang bakal ditayangkan di stesen TV negara itu, Star TV.

Menurut Wendy yang juga Pengarah Eksekutif Produksi Seni 2020 Sdn Bhd, kerjasama itu bermula apabila stesen TV terbabit tertarik untuk membeli travelog terbitan syarikatnya.

“Selama tiga tahun syarikat memberi fokus kepada penerbitan program, travelog dan bahagian pemasaran. Kekangan dari segi bajet membuatkan syarikat berhenti seketika menerbitkan drama.

“Namun, sepanjang tempoh itu saya dan Nancie Foo yang juga pengarah eksekutif dalam syarikat ini sentiasa mencari peluang lain. Satu daripadanya adalah menjalankan kerjasama dengan stesen Star TV.

“Pada awalnya mereka hanya ingin membeli program travelog kami, pada masa sama saya mencadangkan kerjasama lain iaitu menerusi penerbitan drama. Selepas menghantar kertas kerja, mereka bersetuju dan bermulalah perancangan menghasilkan drama ini,” katanya.

Memandangkan idea dan konsep drama itu daripadanya, Wendy berkata, dia mengambil masa dua minggu di Vietnam bagi menyiapkan skrip.

Walaupun drama itu menjalani penggambaran tiga tahun lalu dan bakal ditayangkan pada 3 September ini di TV2, Wendy tetap teruja kerana ia sebuah naskhah unik dan istimewa membabitkan dua negara.

“Jalan cerita asal drama ini lain, namun disebabkan pihak stesen TV tidak mahu menonjolkan sebarang sisi negatif, jadi saya tukar menjadi kisah cinta dua negara.

“Penggambaran membabitkan 60 peratus di Malaysia dan selebihnya di Vietnam selama dua bulan. Begitu juga dengan pemilihan pelakon yang pelakon utama wanita dari sana dan lelaki pelakon tempatan,” katanya.

Bagi Wendy, apa yang pasti kerjasama itu peluang terbaik untuk syrakat penerbitan tempatan memasarkan produk dan pelakon di luar negara supaya lebih dikenali.

Dalam perkembangan lain, Produksi Seni 2020 Sdn Bhd juga baru menandatangani memorandum persafahaman bersama syarikat SRAM & MRAM Technologies And Resources Limited bagi melaksanakan projek di bawah anak syarikat, Jupiter XII.

“Perjanjian ini sesuatu yang membanggakan buat syarikat saya selepas 27 tahun terbabit dalam bidang penerbitan. Kepercayaan diberikan pihak terbabit untuk kami bekerjasama akan dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Jupiter XII ini adalah pembekal kandungan program untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa. Sebagai permulaan, kami bakal menerbitkan sitkom berbahasa Inggeris yang menampilkan artis Malaysia,” katanya.

Menurut Wendy, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana individu yang mempunyai idea menghasilkan apa saja program dan drama datang dan berkongsi perkara itu.

“Kalau tidak ada kandungan yang lengkap pun tidak mengapa. Daripada idea itu kita boleh duduk berbincang dan kami ada pasukan yang boleh membantu melengkapkan idea terbabit.

“Memandangkan ini kerjasama dengan syarikat antarabangsa, jadi ini peluang terbaik untuk memasarkan tempatan ke luar sekali gus mengangkat industri kreatif ke tahap global,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 1:03pm
d