rap

Utama kejujuran dalam berkarya

Oleh Georgie Joseph

Bukan semua pemuzik mampu tampilkan keunikan dengan kekuatan muzikal mereka sekali gus.

Ada yang meninggalkan impak dari segi imej dan ada juga sekadar kuat pada lagu mereka.

Namun, ia berbeza buat band dari Britain bergelar Years & Years ini. Band dianggotai Olly Alexander (penyanyi), Mikey Goldsworthy (synthesizer & keyboard) dan Emre Turkmen (synthesizer dan gitar) ini berjaya menarik perhatian dengan kedua-dua elemen itu sekali gus menjadikan mereka antara band baru paling popular di Eropah ketika ini.

Apa yang pasti, keunikan itulah mereka jadikan kekuatan.

“Setiap pemuzik memiliki keunikan sendiri untuk tampil berbeza daripada pemuzik lain. Kami berpegang kepada apa yang terbaik boleh kami sajikan.

“Tidak perlu membandingkan dengan yang lain dan kami cuma mahu diterima sebagai diri sebenar kami. Begitu juga dengan lagu, kami memastikan ia mesti sentiasa bagus,” kata Olly dalam temu bual bersama RAP, baru-baru ini.

Years & Years yang memperjuangkan muzik pop elektrik, pop indie, dan pop tari itu sentiasa mengutamakan kejujuran dalam berkarya.

Selagi berasakan karya mereka tidak bagus, selagi itulah Years & Years terus mengerah keringat mencari lagu lebih baik.

Perkara itu diakui mereka ketika menghasilkan album kedua berjudul Palo Santo yang baru dilancarkan. Mereka mengakui memang mengalami waktu sukar sepanjang proses pembikinannya.

Ini berikutan album pertama iaitu Communion mencapai kejayaan di luar jangkaan mereka. Jadi, tekanan untuk album kedua itu lebih besar.

“Semestinya tekanan itu lebih terasa apabila memikirkan harapan peminat yang mahukan karya lebih baik berbanding album pertama.

“Tidak dinafikan, kami mengalami masa sukar apabila memikirkan hal itu. Kami tidak mahu mengecewakan mereka selepas sambutan luar biasa terhadap album pertama.

“Banyak kali juga kami keliru yang mana satu lagu yang perlu kami dahulukan untuk album Palo Santo. Keputusan kami berubah-ubah demi memastikan semua lagu dipilih memuaskan dan tepat,” katanya.

Bagaimanapun, band itu ada strategi sendiri demi memastikan penghasilan album berkenaan berjalan lancar.

Bukan sekadar menekankan untuk menghasilkan melodi yang sempurna, kejujuran dalam jalan cerita lirik mereka turut dijadikan kekuatan utama.

“Kami banyak menggunakan cerita mengenai pengalaman hidup dalam lirik lagu kami. Dengan itu, kami percaya ia mampu membuatkan pendengar lebih berhubung mengenai cerita itu.

“Bagaimanapun, kami akui tidak bercerita secara mendalam dan ada bahagian yang kami simpan untuk peribadi saja,” katanya.

Semakin menempa nama, Years & Years turut menyimpan hasrat dapat bergandingan dengan pemuzik hebat lain pada masa depan.

“Antara yang kami teringin untuk bekerjasama adalah Kendrick Lamar. Ia pastinya satu pencapaian jika dapat merealisasikannya pada masa depan.

“Selain itu, kami juga ingin bereksperimen untuk mencuba gabungan bersama Ariana Grande dan Pitbull juga,” katanya.

Walaupun menampilkan muzik era baru, band itu turut menyuntik elemen 1990-an dalam karya mereka menjadikan lagu mereka seperti Hypnotized, Hallelujah, Sanctify, All For You, Karma, Palo Santo dan Lucky Escape.

Lagu berkenaan adalah antara yang dimuatkan dalam album terbaru mereka itu.

Dalam pada itu, Years & Years turut berkunjung ke Asia buat pertama kali baru-baru ini termasuk singgah mengadakan persembahan mini di Singapura.

Bertempat di Annex Studio 1, Esplanade, band berkenaan berjaya menghiburkan lebih 300 penonton yang hadir pada malam itu.

Menyanyikan enam lagu daripada album baru mereka, persembahan mereka nyata berjaya meninggalkan impak. Walaupun pentasnya kecil, aksi mereka menakluk penonton cukup mengagumkan.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 1:11pm
d