rap

Tak serius hanya 'digam' - Lan Solo

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Lan Solo bersyukur kecederaan dahi dialami anak lelakinya, Akid akibat terkoyak semalam tidak serius seperti kecederaan dialami sebelum ini.

Lan, 33, berkata ia kali kedua berlaku pada anaknya berusia empat tahun itu dan mengakui cemas sebaik mendapat tahu Akid cedera.

“Sewaktu insiden, saya dan isteri berada di konti Suria FM menghadiri temubual. Anak-anak kami tinggalkan bersama neneknya di Puchong.

“Ketika temubual itu berlangsung, neneknya tiba-tiba membuat panggilan bertalu-talu dan memberitahu dahi Akid terkoyak. Kami meminta mereka menghentikan pendarahannya sebelum bergegas balik dan membawa Akid ke hospital.

“Syukur, kecederaannya tidak serius dan hanya perlu digam. Berbanding sebelum ini, dahi anak saya pernah terkoyak dan menerima tujuh jahitan,” katanya.

Terdahulu, Lan berkongsi video dan foto anaknya menerima rawatan di sebuah hospital menerusi Instagram.

Penyanyi berkenaan berterima kasih kepada semua bertanyakan keadaan anaknya dan menyatakan kerisauan meskipun kecederaan itu tidak serius.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 4:34pm
d