rap

Hamil anak kedua

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Anak adalah anugerah untuk sepasang suami isteri. Berita terbaru ini tentunya mengukir senyum buat peminat setia penyanyi yang muncul daripada program American Idol, Carrie Underwood.

Bukan sahaja peminat, Carrie dan suaminya, Mike Fisher juga nyata bahagia dengan berita yang dikongsikan menerusi akaun Instagramnya itu.

Carrie kini hamil cahaya mata kedua hasil perkongsian hidup dengan bekas pemain hoki berusia 38 tahun itu.

“Mike dan Isaiah (anak sulungnya) sangat teruja dan gembira dengan berita baik ini. Kami sekeluarga tak sabar untuk menantikan kehadiran anggota keluarga baru ini,” katanya dalam video itu.

Menurutnya, dia ingin berkongsi rasa bahagia itu bersama peminat.

“Kami terlalu teruja dan kalau boleh mahu semua peminat dapat berkongsi rasa bahagia itu,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama media pada April 2017, Carrie memberitahu Isaiah adalah anak yang ‘cemburu’ dan tidak mahu berkongsi kasih sayang ibu bapanya.

“Kalau ada anjing yang bermanja dengan saya pun dia dah boleh cemburu,” katanya.

Dalam satu temu bual lain, Carrie juga menyuarakan hasratnya untuk terus menambah bilangan ahli keluarga.

“Kalau boleh, bila anak makin membesar, mungkin kami nak tambah lagi bilangan ahli keluarga dengan mengambil anak angkat.

“Kini saya dan suami menjadi sebahagian daripada organisasi yang menjaga kebajikan anak yatim dan fokus kami adalah untuk membantu mereka sedaya upaya kami,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 12:19pm
d