rap

Biar mereka tahu bahasa kita - Nam Ron

Oleh Norhayati Nordin

PENGARAH dan pelakon berkaliber, Nam Ron, 49, bangga bertutur bahasa Malaysia ketika menghadiri forum membicarakan filem arahannya One, Two, Jaga di New York Asian Film Festival (NYAFF), baru baru ini.

Nam Ron atau Shahili Abdan berkata dia melihat bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara.

“Saya biasanya memang akan memilih bertutur bahasa Malaysia setiap kali diundang menghadiri bengkel atau forum berkaitan teater dan filem di luar negara.

“Jika penganjur memaklumkan ada penterjemah disediakan, maka saya akan bertutur dalam bahasa Malaysia.

“Bagi saya, ia satu peluang untuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang menjadi identiti kita pada masyarakat luar. Apatah lagi, saya mewakili negara.

“Ditambah pula, saya melihat ada saja peserta dari negara asing lain seperti Jepun, Korea, Itali dan Russia yang bertutur bahasa kebangsaan mereka.

“Jadi, kenapa saya tidak angkat bahasa kebangsaan negara sendiri di mata masyarakat luar,” katanya.

Menurut Nam Ron lagi, dia pernah bertutur bahasa kebangsaan ketika menghadiri forum teater di Jepun pada 2004 hingga 2008.

“Pada saya, masyarakat luar tidak menilai kebijaksanaan seseorang melalui penguasaan bahasa sebaliknya kreativiti dalam karya diketengahkan.

“Apa pun, tiada masalah sama ada mahu bertutur bahasa Malaysia atau Inggeris, kerana ia pilihan masing-masing.

“Cuma, saya melihat pada kesesuaian majlis dan ketika itu ada pula penterjemah disediakan. Jadi, gunakan saja peluang itu,” katanya.

Sehubungan itu, Nam Ron berkata filem One, Two, Jaga akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 6 September ini.

Terdahulu, tular video pendek Nam Ron memperkenalkan dirinya dalam bahasa Malaysia ketika menghadiri NYAFF di Amerika Syarikat.

Ramai netizen yang memuji tindakannya yang dianggap selamba bertutur bahasa Malaysia di hadapan delegasi asing.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 7:17pm
d