rap

'Masa tu memang marah'

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Azrel Ismail, 34, akui dia dalam keadaan marah ketika membalas komen seorang netizen di akaun Twitter miliknya.

Azrel bagaimanapun berkata dia tiada niat langsung untuk mencetuskan sebarang kontroversi.

“Apapun, saya mohon maaf di atas keterlanjuran penggunaan perkataan ‘orang asli’ dalam ‘tweet’ komen yang ditulis.

“Saya memang dalam keadaan marah ketika itu.

Maafkan saya,” katanya mengulas isu perkataan ‘orang asli’ digunakannya ketika membalas tweet seorang netizen.

Menurut Azrel, dia gagal mengawal kemarahannya kerana komen individu terbabit baginya berbaur provokasi dan keterlaluan.

“Saya boleh menerima teguran seandainya apa yang dikatakan itu adalah berdasarkan pada teknik lakonan.

“Tetapi, individu berkenaan tiba-tiba menyentuh mengenai otot (biceps) dan jambang yang jelas tidak ada kaitan dengan lakonan saya dalam filem Pulang,” katanya.

Jelas Azrel lagi, dia melihat aspek fizikal dan teknik lakonan adalah dua perkara yang berbeza.

Enggan memanjangkan perkara itu, Azrel berkata, terpulang pada persepsi setiap orang untuk menilai.

Terdahulu, Azrel melakonkan watak Omar dalam filem Pulang yang dibintangi bersama Remy Ishak dan Puteri Aishah.

Filem berlatarkan kisah benar percintaan terulung terbitan Primework Studios itu diarahkan Kabir Bhatia.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 7:58pm
d