rap

Tabahnya Adzrin...

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Andai berlaku kepada insan lain, pasti hilang semangat dan pedoman untuk hidup.

Namun, tidak bagi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar, 33, yang kekal optimis dengan setiap ujian.

Tiga tahun lalu, dia disahkan menghidap kanser ovari tahap dua.

“Selepas disahkan menghidap kanser, saya menangis di dalam kereta dan tidak memberitahu sesiapa. Apabila pulang ke rumah dan memberitahu ibu mengenainya, dia menangis. Tambahan pula, pada masa itu kes mahkamah membabitkan saya, kakak dan ayah sedang berjalan. Ramai menyangka hidup saya tertekan, tapi saya mendapat semangat daripada keluarga dan doktor yang merawat,” katanya.

Adzrin yang ditemui di Putrajaya selepas menghiburkan pengunjung di sebuah restoran di situ berkata, mereka selalu mengingatkannya untuk positif dan menjalani kehidupan sihat.

Katanya, mungkin disebabkan sentiasa bersikap ceria, dia langsung tidak menghiraukan dugaan besar yang menimpanya ketika itu.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, selepas disahkan menghidap kanser, pada tahun yang sama dia bersama bapa dan kakaknya dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59 juta.

Mereka didakwa menggunakan wang haram untuk membeli hartanah, produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka di beberapa bank di sekitar Kuala Lumpur antara 14 Ogos 2007 hingga 6 Januari 2009.

Adzrin dihukum penjara selama setahun, kakaknya tiga tahun manakala bapanya dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

“Selama berada dalam penjara, saya sentiasa dilayan dengan baik, malah kerap dibawa berjumpa doktor bagi mengetahui tahap kesihatan ketika itu.

“Saya juga sering dibawa berjumpa pakar psikiatrik kerana ada pihak bimbang saya mengalami masalah mental kerana terlalu ceria,” katanya.

Antara detik indah pernah dikongsi saat berada dalam penjara, dia sering menjadi imam kepada jemaah wanita.

Dia juga membantu banduan lain mendekati ilmu agama selain terbabit dalam pelbagai aktiviti seperti menulis puisi dan sajak serta pernah menyertai pertandingan antara penjara.

“Saya pernah membantu seorang banduan dari luar negara yang ditahan kerana kesalahan imigresen. Banduan itu tidak pernah solat dan meminta saya mengajarnya solat.

“Sebaik saja habis solat, banduan itu mendapat berita keluarganya datang untuk melawat selepas hampir dua tahun terputus hubungan,” katanya situasi itu menimbulkan suasana syahdu dalam kalangan banduan dan pegawai penjara.

Mungkin kerana sering berkelakuan baik, hukuman penjara ke atas Adzrin akhirnya dipendekkan kepada lapan bulan dan dibebaskan pada November 2016.

Kakaknya pula dibebaskan tahun lalu dan bapanya dijangka dibebaskan awal tahun depan.

Reda dengan segala yang berlaku, Adzrin menganggap dugaan yang menimpanya ini menjadikan dia lebih kuat selain menjadikan dirinya hamba Allah yang lebih baik.

“Dari segi kehidupan peribadi, walaupun ovari sebelah kanan terpaksa dibuang selepas hamil anak kembar luar rahim pada 2008, saya dan suami dikurniakan bayi kembar tahun lalu,” katanya.

Adzrin juga gembira apabila doktor mengesahkan dia kini sudah sembuh daripada kanser ovari pada Mei lalu.

Perkembangan baik itu berkat usahanya melakukan pemeriksaan berkala selain menjalani kehidupan positif.

“Saya tidak menjalani rawatan kimoterapi, tapi mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga diet pemakanan seperti mengurangkan pemakanan yang boleh merangsang sel kanser serta melakukan aktiviti senaman.

“Selain itu, saya amalkan pengambilan ubat yang dibekalkan hospital dan makanan tambahan yang bersesuaian,” katanya

Adzrin yang mendirikan rumah tangga pada 2007 dikurniakan anak kembar perempuan, Hana Jasmin dan Hana Dahlia yang kini berusia setahun enam bulan.

Dalam perkembangan lain, dia dalam perancangan untuk kembali ke persada muzik tanah air bersama sebuah kumpulan muzik selepas kali terakhir muncul dengan single berjudul Petua.

Cuma pada masa ini dia sibuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang muzik di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 11:56am
d