rap

Puas jaga sendiri anak

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun bakat Azza, 36, lebih terserlah sebagai pelakon, namun langkahnya dalam kerjaya seni bermula menerusi program Akademi Fantasia 1 (AF1) pada 2003.

Selepas lebih 15 tahun terbabit dalam industri hiburan, nama Azza agak tenggelam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apatah lagi, Azza sudah berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata, Cempaka Nur Adriyana yang kini berusia dua tahun tiga bulan.

Mengulas mengenai ‘penyepiannya’, Azza berkata, dia tidak aktif berlakon bukan kerana dihalang suami, Alif Ehsan A Rahim, 32.

“Suami tak pernah halang dan sentiasa menyokong. Cuma, sekarang saya lebih selesa memberi tumpuan kepada anak.

“Saya berasa lebih puas menjaga sendiri anak memandangkan Cempaka pun masih kecil dan begitu perlukan perhatian. Bagi saya, keluarga paling utama. Pun begitu, saya tak nafikan perasaan rindu pada lakonan, tetapi saya memang tak boleh berjauhan lama dengan anak.

“Saya dan Cempaka sangat rapat. Jadi, sukar untuk saya meninggalkan dia walaupun di bawah jagaan keluarga hanya untuk keluar bekerja,” katanya.

Mengakui masih menerima tawaran berlakon, Azza berkata, dia sering diundang pihak produksi pada saat akhir yang akhirnya ditolak.

“Saya menolak bukan kerana sombong atau ‘demand’ bayaran, tetapi memikirkan tawaran itu diberi pada saat akhir. Dalam soal ini, saya perlu buat persediaan.

“Antaranya, urusan penjagaan anak apabila saya bekerja termasuk menyediakan pakaian sesuai untuk penggambaran. Ini kerana saya tidak gemar cara bekerja yang asal boleh,” katanya.

Menurut pelakon drama Minah Lodeh Tipah Lepat ini lagi, dia seorang yang komited pada tanggung jawab berlakon yang digalasnya kerana enggan memberi masalah kepada produksi.

Apa pun, Azza berkata, dia mungkin tidak aktif berlakon drama TV, tetapi masih ligat membintangi drama radio di RTM.

“Memang saya agak lama tidak membintangi drama di TV, tetapi Alhamdulillah rezeki berlakon drama radio masih ada.

“Lagipun, saya selesa berlakon drama radio kerana tidak memerlukan masa terlalu lama. Anak pun boleh dibawa bersama dan suami pun menemani saya.

“Selain itu, rakaman drama pun dibuat di studio berhawa dingin dan memberi keselesaan kepada anak saya. Jadi, bolehlah kerja dengan tenang,” katanya.

Menurut Azza, kini apa saja keputusan untuk berlakon akan dibuat selepas memikirkan mengenai kebajikan anak dan suami.

Antara drama lain pernah dibintangi Azza ialah peminat Senandung Si Dayang, Wadi Rahmah, Aku Tak Rela, Cahaya Di Hujung Nyawa, Iman Nabila dan Menantu Sepuluh Ribu.

Ditanya juga mengenai minatnya pada nyanyian, Azza berkata, dia sedar bakatnya bukan sebagai penyanyi dan tidak terfikir untuk menghasilkan single.

“Cukuplah, saya hanya menyanyi suka-suka dan berhibur di rumah saja. Saya tidak ada bakat untuk bergelar penyanyi.

“Ketika dalam AF1 dulu pun, saya peserta yang tersingkir awal. Jadi, situasi itu sudah menunjukkan saya mungkin kurang berbakat dalam bidang nyanyian,” katanya.

Masih lagi berhubung rapat bersama rakan lain di dalam AF1, Azza berkata, baru-baru ini mereka berkumpul dengan peminat mengadakan perlawanan boling.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 12:29pm
d