rap

'Saat indah bukan menunjuk'

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON, Aeril Zafrel, 30, menafikan dia mahu menunjuk kebahagian bersama keluarganya menerusi foto dan video dimuat naik di Instagram (IG) miliknya.

Aeril atau Suhairil Sunari, 30, ditemui berkata foto dan video dimuat naik itu sekadar berkongsi saat indah bersama keluarga.

“Tujuan saya memuat naik foto dan video di IG bukan untuk menunjuk bahagia tetapi ia adalah saat indah bersama isteri dan anak-anak.

“Sebagai suami dan bapa, rasanya apa yang saya lakukan itu bukanlah perkara yang keterlaluan. Ia sekadar berkongsi kenangan indah.

“Lagi pun, melalui perkongsian foto dan video di laman sosial, ia biasanya kekal dan tidak terpadam,” katanya.

Menurut Aeril lagi, saat indah bersama anak-anak ketika mereka kecil dilalui sekali seumur hidup.

Ujarnya, selagi berpeluang dia akan mengabadikan setiap saat indah itu di medium IG miliknya.

Aeril yang bertemu jodoh dengan pelakon Wawa Zainal dikurniakan dua anak iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 5, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 3.

Mengulas mengenai anak lelakinya, Attar yang dikatakan sudah menunjukkan minat terhadap seni, Aeril berkata dia tidak menghalang.

“Seandainya memang Attar berminat dalam seni, saya tiada masalah untuk memberi sokongan kepadanya.

“Saya tidak akan menghalang minat anak-anak. Jika seni yang mereka pilih dan suka, saya okay saja.

“Bagi saya, sokongan wajar diberikan. Cuma, apa yang paling utama biarlah tumpuan pada pelajaran dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Aeril akan menjayakan teater Tanah Akhirku di Istana Budaya (IB) pada 28 Ogos hingga 2 September ini.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 6:46pm
d