rap

Kembali nostalgia Muzik Muzik

Oleh Georgie Joseph

MENJADI program carta muzik paling lama bertapak di Malaysia, Muzik Muzik 33 terus mendapat sambutan dalam persembahan mini yang diadakan di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

Persembahan itu bukan saja menarik golongan pencinta muzik tempatan tetapi juga pengunjung pelbagai lapisan umur. Apa yang pasti, kehangatan acara berkenaan terus dirasakan sebagaimana tahun sebelum ini.

Penerbit eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid berkata, pihaknya bersyukur pemilihan lokasi berkenaan menepati kehendak mereka.

“Ini tahun kedua kami adakan persembahan di lokasi ini. Memang sambutannya sangat memberangsangkan dan kami percaya ia lokasi yang paling tepat berbanding beberapa lokasi sebelum ini.

“Kami tidak menetapkan jumlah sasaran penonton yang hadir. Cukuplah melihat sambutannya yang hangat pun sudah memadai,” katanya.

Berkongsi mengenai kelainan untuk persembahan Muzik Muzik tahun ini, Nurhul berkata, segmen membawakan artis yang pernah bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) antara tarikan.

Bukan saja menampilkan artis yang ada dalam carta semasa, namun mereka turut menampilkan artis lama bagi memeriahkan acara itu.

“Tahun ini, kami turut membawakan artis yang pernah bertanding dalam AJL sebelum ini untuk segmen ‘throwback’ seperti Rem dan kali ini kami menampilkan Azie. Kami mahu mengembalikan nostalgia kegemilangannya menerusi lagu Pelamin Anganku Musnah yang turut bertanding dalam AJL sebelum ini,” katanya.

Pada persembahan keempat berkenaan, tujuh artis tampil menghangatkan acara terbabit. Ia menampilkan gabungan penyanyi popular semasa serta penyanyi lama.

Ternyata, ia berjaya menarik perhatian pengunjung premis berkenaan yang mula ‘terpacak’ depan pentas sejak penyanyi melakukan ujian bunyi.

Paling teruja semestinya penyanyi yang cukup terkenal pada era 1990-an iaitu Azie.

Ramai tunggu Azie

Menurutnya, dia berbesar hati mendapat jemputan daripada Muzik Muzik selepas sekian lama menyepi.

“Semestinya saya sangat teruja untuk kembali beraksi di pentas Muzik Muzik apalagi selama ini ramai yang tercari-cari saya. Produksi meminta saya menyanyikan lagu Pelamin Anganku Musnah dan saya pasti ramai penonton masih ingat lagu itu,” katanya.Selain Azie, turut mendapat perhatian adalah penyanyi lagu Tak Pernah Hilang iaitu Amylea Azizan dan Kaer.

Sebaik kedua-duanya muncul di pentas, penonton memberikan tepukan gemuruh memandangkan runut bunyi siri fenomena Nur itu memang cukup meninggalkan impak.

Menurut Amylea, dia gembira dengan pencapaian lagu berkenaan sehingga berjaya masuk dalam carta Muzik Muzik.

“Sebenarnya, sambutan yang kami dapat selepas Nur sudah terlalu membanggakan. Kami tidak pernah meletakkan harapan pun untuk sampai ke pentas besar sebegini,” katanya.

Turut membuat persembahan ialah Syamel yang menyanyikan lagu barunya berjudul Kau Pun Sama.

Tidak ketinggalan, band Floor 88 antara yang menjadi tumpuan apabila menampilkan persembahan bertenaga menyanyikan lagu popularnya Aqilah.

Begitu juga Khai Bahar dan Fatin Husna turut mempesona menerusi lagu Rahsia Kita.

Persembahan kelima dan yang terakhir bakal dilangsungkan pada 22 September nanti. Acara itu dihoskan Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:07am
d