rap

Saleem tidak 'dera' vokal

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KEMAMPUAN Saleem beraksi di atas pentas tidak perlu dipertikai lagi apabila dia tampil cemerlang dalam Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo yang berlangsung di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 20 April lalu.

Saleem atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed, 56, membuktikan usia bukan halangan apabila berjaya menghiburkan lebih 500 peminat.

Tidak menghairankan apabila nama penyanyi lagu popular Suci Dalam Debu ini kembali jadi rebutan penganjur dan terbaru Saleem dilamar mengadakan persembahan berjudul Saleem Live In KL yang berlangsung di House, G Tower pada 9 September ini.

Bukan calang-calang kerana vokalnya akan diuji dengan menyampaikan 20 lagu yang memerlukan lebih tenaga daripada biasa di lokasi yang boleh memuatkan hampir 1,000 penonton.

“Selepas MaTic, banyak pihak menyuarakan hasrat untuk mengundang saya menjayakan persembahan, tetapi kena pilih yang terbaik.

“Untuk Saleem Live In KL, saya kena menyampaikan banyak lagu, tapi ia bukan masalah. Sebagai penyanyi saya kena bijak ‘transform’ bagaimana untuk membawakan koleksi lagu itu agar peminat puas hati.

“Lagipun, persembahan saya tetap sama iaitu menggunakan tema santai dan mahu menyanyi bersama penonton. Jadi, saya perlu ubah suai lagu itu agar mereka boleh sama-sama menyanyikannya.

“Ia bukan nyanyian yang boleh mendera vokal saya dan perkara ini boleh dibincangkan dengan pemuzik pengiring nanti,” katanya.

Menerusi persembahan yang dibahagikan kepada dua segmen ini, antara lagu yang bakal didendangkan Saleem adalah Bukan Niatku, Suci Dalam Debu, Juwita dan Soldier Of Fortune.

Saleem Live In KL anjuran Triple Work Entertainment menampilkan barisan pemuzik pengiring hebat iaitu Lola XPDC, Eddie XPDC, Lan Dragon Malaya dan Fuad.

Manakala Qody Mentor yang hadir dengan single Biar Aku akan ditampilkan sebagai penyanyi pembuka pentas persembahan.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket berharga RM100 boleh mendapatkan keterangan lanjut di Facebook Saleem Live in KL.

Bakal kembali bersama Iklim

Sama ada suka atau tidak, Saleem tidak boleh lari dikaitkan dengan kumpulan Iklim. Sebagai penyanyi Iklim, dia tetap menyimpan impian untuk tampil bersama kawan lamanya di atas pentas.

“Buat masa ini saya akan fokus persembahan solo, tetapi untuk Iklim saya ada berita gembira kerana akan tampil bersama mereka pada November depan.

“Ia akan bermula dengan persembahan istimewa di Johor Bahru sebelum kami beraksi di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Hanya Umarul (pemain gitar utama) yang sudah tahu perkara ini dan saya pasti anggota asal Iklim akan bersetuju sekiranya diajak,” katanya.

Menurutnya, Iklim mempunyai ramai peminat di Johor dan sudah pasti konsert ini amat dinanti.

“Sebenarnya hubungan saya dengan anggota lain tak pernah putus. Kami kerap juga berhubung di Facebook.

“Johor akan dianggap sebagai penanda aras populariti Iklim sebelum kami bergerak ke lokasi lain. Sebenarnya Iklim masih ramai peminat dan kami perlu buat bersungguh-sungguh untuk kembali memenangi hati mereka.

“Kami masih mencari tarikh dan lokasi persembahan sesuai yang akan diumumkan nanti. Saya seronok dapat kembali beraksi bersama Iklim. Kecil tapak tangan Stadium Bukit Jalil saya tadahkan,” katanya.

Iklim pernah mengadakan ‘reunion’ dengan menjayakan persembahan istimewa di Muar, Johor pada 2015.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:15am
d