rap

'Belum putus asa timang anak'

Oleh Ramlah Zainal

PENGACARA dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina mengakui dia tidak pernah berputus asa mendapatkan cahaya mata selepas tujuh tahun berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 33.

Menurut pemilik nama sebenar, Shazrina Azman, 38, dia dan suami pernah mencuba kaedah rawatan moden iaitu teknik persenyawaan In-Vitro (IVF) dan pernah berkongsi mengenainya dalam blog sebelum ini.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan saya bersyukur dengan kehidupan dikecapi ketika ini.

“Cuma saya dan suami belum ada rezeki lagi mendapat cahaya mata.

“Suami dan ahli keluarga memahami. Mereka tidak pernah mendesak dalam soal cahaya mata,” katanya.

Mizz Nina ditemui pada majlis Yasmin Mogahed Malaysia Tour 2018 di The Curve, Damansara, hari ini.

Namun, kata Mizz Nina, dia percaya kebahagiaan seseorang bukan terletak pada soal berkahwin atau memiliki anak tetapi adalah lebih pada kebahagiaan mencari akhirat.

“Pada peringkat awal perkahwinan, saya berasa sedih bila ditanya soal anak tetapi saya percaya semua ini ada hikmahnya.

“Mungkin Allah belum beri rezeki untuk memiliki cahaya mata untuk beri peluang pada saya untuk menyertai pelbagai projek amal dan misi kemanusiaan di luar negara,” katanya.

Mizz Nina berkahwin dengan Noh pada 1 Julai 2011.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 5:15pm
d