rap

Takut berlakon dengan Ogy

Oleh Ramlah Zainal

Bermula sebagai ‘instafamous’ dengan memiliki 150,000 pengikut di laman Instagram, Scha Elinnea, 19, kemudian mencuba nasib dalam dunia hiburan.

Menurut pelakon dari Sungai Petani, Kedah ini, laluannya untuk menceburi bidang lakonan dipermudahkan apabila dilamar syarikat pengurusan Prokuya Studios dan mengikat kontrak setahun pada Januari lalu.

“Saya sangat meminati bidang fesyen dan solekan. Saya juga aktif sebagai model dan buat demonstrasi solekan di Instagram sejak berusia 17 tahun.

“Selain bidang fesyen, saya juga ingin melebarkan sayap sebagai pelakon.

“Tawaran Prokuya Studios ibarat bulan jatuh ke riba dan disambut dengan hati terbuka,” katanya.

Meski masih ‘hijau’, pemilik nama sebenar Natasha Mohamed Mubeen sudah diberi kepercayaan beraksi dalam drama bersiri popular Mr Grey.

“Saya melakonkan watak pembantu yang tidak kurang pentingnya iaitu Jannah, kawan baik kepada heroin lakonan Eyra Hazali. Drama ini memperkenalkan saya kepada peminat.

“Sedar tidak punya asas dalam bidang ini, saya sanggup bermula dari bawah dan tidak malu bertanya pengarah serta pelakon lain di lokasi penggambaran,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Scha Elinnea mengakui berasa gementar ketika berlakon dengan bintang hebat Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dalam drama itu.

“Pada mulanya saya takut berlakon dengan Kak Ogy yang bawa watak ibu kepada heroin.

“Namun, Kak Ogy sangat baik dan banyak membantu saya menjiwai watak Jannah yang banyak bermain dengan emosi serta air mata,” katanya.

Selepas Mr Grey, Scha Elinnea baru selesai penggambaran drama bersiri Cinta Pencuri Kelas Satu bergandingan dengan Raf Yaakob dan Emma Maembong.

Menyusul selepas itu, dia terbabit dengan drama romantik komedi di samping Farah Nabilah dan Fikry Ibrahim.

Mahu watak antagonis

Sebagai pelakon baru, Scha Elinnea mahu mencuba semua watak bagi mengasah skil lakonan.

Mengagumi persembahan Nabila Huda dan Yana Samsudin, dia mahu mencabar diri melakonkan watak antagonis pula selepas ini.

“Saya mahu cuba bawa watak bohsia dan GRO kerana mahukan kelainan dalam lakonan.

“Saya juga menganggap setiap watak sebagai kelas lakonan untuk memperbaiki prestasi sedia ada,” katanya.

Tegas Shca Elinnea, dia bersedia menerima komen positif dan negatif peminat di laman sosial.

“Setakat ini, ramai peminat yang memberi maklum balas di Instagram mengenai fesyen yang digayakan dalam drama.

“Biasalah, ada peminat yang tidak suka dengan pakaian yang saya gayakan dan saya terima dengan hati terbuka.

“Sejak berlakon jumlah pengikut di Instagram meningkat kepada 232,000 orang,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 1:01pm
d