rap

'P Ramlee inspirasi saya'

Oleh Georgie Joseph

PELAKON, Henry Golding yang menempa nama di Hollywood mengakui seniman agung Tan Sri P Ramlee menjadi inspirasi nombor satunya untuk berjaya dalam lakonan.

Henry, 31, memuat naik kenyataannya ditemubual di Amerika Syarikat (AS) di Instagram menyatakan dirinya menyanjung P Ramlee sejak dari kecil lagi.

“Pertama kali saya tahu bila besar nanti saya mahu berada di skrin TV adalah sewaktu saya masih kecil di Malaysia.

“Ada seorang pelakon prolifik dan legenda sepanjang masa diberi nama P Ramlee. Dia adalah Frank Sinatra atau Charlie Chaplin versi Malaysia.

“Dia menyanyi, berlakon, mengarah, menulis dan menghasilkan karya akan diingati selamanya. Masih lagi seorang hero di Asia sehingga kini,” katanya dalam temubual berkenaan.

Sejak awal tahun ini, pelakon kacukan Iban-Inggeris itu mula rancak mempromosikan filem lakonannya Crazy Rich Asians yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 Ogos nanti.

Henry mencipta pencapaian membanggakan apabila diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Nick Young dalam filem arahan Jon M Chu itu.

Pelakon berkenaan turut bergandingan dengan aktres Hollywood gred A iaitu Blake Lively dan Anna Kendrick menerusi filem A Simple Favor yang dijadualkan tayangannya pada bulan depan.

Terdahulu, Henry mencipta nama sebagai pengacara 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 10:28pm
d