rap

Pentas 'pesakit AIDS'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

The Actor Studio yang diasaskan pasangan suami isteri, Datuk Dr Faridah Merican dan Joe Hasham pernah bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia menerbitkan sebuah pementasan yang diberi nama Adam The Musical pada 2010.

Adam The Musical yang dipentaskan di The Actor Studio di pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur ketika itu mencatat sejarah kerana dipentaskan selama 35 hari bermula pada 12 Mei hingga 20 Jun.

Teater yang memberikan kesedaran mengenai HIV dan Aids dalam bentuk santai ini membariskan 23 pelakon teater berbakat antaranya Malik Taufik, Maria Yasmin, Mark Sobels, Tria Aziz, Sandra Mannas Wolf, Mo Dee, Fairuz Tauhid, Tabitha Kong dan Faridah sendiri.

Adam The Musical adalah kisah cinta Adam dan seorang wanita beragama Kristian, Sylvia yang dilanda masalah apabila Adam disahkan HIV positif sementara kakak Sylvia cuba menghalang hubungan mereka.

Skrip tulisan Mark Beau De Silva ini lucu, pilu, dramatik dan pada masa sama memaparkan realiti kehidupan sebenar.

Selepas satu dekad, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) yang mendapat sokongan Yayasan Sime Darby Arts Festival (YSDAF) serta kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) akan kembali mementaskan Adam The Musical yang dipecahkan kepada dua sesi iaitu Malam Gala pada malam esok yang diadakan secara tertutup dan Ahad yang dibuka kepada pengunjung.

Persembahan yang bermula pada jam 8 malam itu diadakan di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Kuala Lumpur.

Ia akan diikuti oleh sesi persembahan awam pada 24 Ogos hingga 1 September ini di Pentas 2 lokasi sama.

Persembahan yang sekali lagi diarahkan Joe ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 The Actor Studio.

Faridah berkata, mereka amat teruja dan tidak sabar untuk mementaskan semula Adam The Musical pada Persembahan Gala YSDAF ini.

“Ia asalnya dihasilkan untuk Majlis AIDS Malaysia, tapi diolah semula untuk membangkitkan semula kesedaran awam mengenai wabak Aids serta cabaran yang dihadapi individu yang menghidap penyakit itu,” katanya.

Faridah adalah penerbit eksekutif manakala Joe pula selaku pengarah seni untuk produksi ini.

Sekali lagi naskhah ini ditulis Mark Beau de Silva dan mendapat kerjasama Lim Chuang Yik sebagai komposer muzik dan lirik tulisan bersama Lim Chuang Yik serta Bow Martin sebagai Pengarah dan Penyusun Muzik.

Tidak banyak perubahan dibuat dari aspek pelakon kerana Malik sekali lagi akan melakonkan watak Adam, Faridah (Noni - ibu Adam) dan Fairuz Fee Tauhid ( Jambu- kawan rapat Adam) dan turut menjadi koreografer untuk teater ini.

Muka baru, Teresa Goh pula menggalas peranan sebagai Mia (tunang Adam), Nikki Palikat (Flora - adik ipar Adam), Zhafir Muzani (Mangga - kawan rapat Adam) yang juga selaku ketua tarian dan terbabit sebagai 10 ahli ensemble.

Tiket untuk menonton berharga RM60 untuk dewasa dan RM40 untuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Tiket boleh didapati di kaunter tiket klpac box office atau secara atas talian di www.ticketpro.com.my.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 11:59am
d