rap

Sentuhan muzik sama

Oleh Ardini Sophia Sina

Selepas tampil dengan konsert hebat baru-baru ini, kumpulan Ruffedge yang sudah 10 tahun menyepi tanpa sebarang lagu kini kembali dengan single terbaru berjudul Seperti Mereka.

Kemunculan semula kumpulan itu pada awal tahun dalam persembahan pada malam majlis Anugerah MeleTOP Era 2018 berjaya mencuri tumpuan.

Melihat anggota kumpulan itu bergabung semula menyampaikan lagu yang suatu ketika dahulu menjadi siulan menimbulkan keterujaan dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Sebagai pelengkap episod kemunculan semula di persada seni tempatan, lagu Seperti Mereka dirakamkan khas untuk peminat setia Ruffedge yang merindui karya baru mereka.

Pada zaman kegemilangannya, Rufedge yang dianggotai Cat Farish, Azan, Zain, Mode, Sein dan Amir ini pernah popular dengan lagu seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu, Goyang, Khayalan dan Da’ Bomb.

Kumpulan yang memperjuangkan genre R&B dan hip hop sejak awal pembabitan pada 1998 masih mengekalkan genre muzik sama menerusi single baru ini.

Lagu yang mengangkat tema cinta ini diberikan sentuhan muzik sama seperti lagu hit terdahulu iaitu Bila Rindu. Lagu pertama selepas 10 tahun ini adalah hasil ciptaan penuh Azan Addin.

Seperti Mereka adalah terbitan MKZ Network dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 12:07pm
d