rap

Ikhwan tidak terasa hati

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI dan penggubah, Ikhwan Fatanna mengakui sedikit pun tidak terasa hati apabila namanya tiada dipaparkan pada layar kredit video klip Jatuh Bangun nyanyian Haqiem Rusli.

Kata Ikhwan, dia menganggap itu hanyalah kesilapan teknikal dan tiada sebab untuk berselisih faham dengan Haqiem hanya disebabkan hal kecil.

“Saya rasa ia perkara kecil dan mungkin kesilapan teknikal apabila hanya nama dia sahaja dikreditkan dalam video klip rasmi lagu itu.

“Isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana pada bahagian maklumat di bawah klip itu ada tertulis nama saya. Tambahan pula, nama saya turut didaftar di Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP),” kata penyanyi lagu Bismillah itu.

Tambahnya lagi, perkara itu tidak perlu dijelaskan secara terperinci kerana semua tahu lagu itu adalah kerjasama dirinya bersama Omar K, Aman Ra dan Haqiem sendiri.

“Saya rasa semua tahu bukan Haqiem yang menulis dan menggubah lagu itu. Tidak perlu dijelaskan secara terperinci.

“Tambahan pula, saya masih menerima insentif dan royalti penjualan lagu berkenaan.

“Ketika di muat naik lirik video di YouTube, dia ada kreditkan nama saya dan yang lain-lain. Cuma video klip rasmi sahaja yang tiada,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 7:56pm
d