rap

Misi Aidiladha Afdlin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki akan bertolak ke Hyderabad, India malam esok bagi menjayakan misi Qurban dan Aqiqah Untuk Rohingya sempena sambutan Aidiladha ini.

Afdlin, 47, berkata, misi itu adalah kolaborasi bersama Yayasan Afdlin Shauki dan Yayasan Kubra bagi memberi makan kepada hampir 40,000 pelarian Rohingya di dua kem di Hyderabad dan Jaipur.

“Misi mengumpulkan dana ini sudah dilancarkan sejak dua bulan lalu. Ia bertujuan untuk membantu pelarian Rohingya di India. Jadi, sempena sambutan Aidiladha ini, kami mengadakan ibadah qurban dan aqiqah sekali gus meringankan beban mereka di kem terbabit.

“Insya-Allah, kami akan ‘menumbangkan’ 30 ekor lembu dan kambing. Kami turut mengagihkan daging dan bantuan makanan lain ke kem pelarian Rohingya di Jaipur.

“Difahamkan, terdapat beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menjayakan misi sama di sana. Jadi, kami akan saling membantu antara satu sama lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Afdlin, selain mengumpul dana bagi pembelian lembu dan kambing, misi itu juga memerlukan dana bagi tujuan membeli makanan harian.

“Saya difahamkan di sana setiap hari terdapat kes kematian membabitkan bayi, kanak-kanak, wanita dan warga emas akibat kekurangan makanan, nutrisi dan zat selain penyakit dan wabak.

“Jadi, kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu mereka. Hasil sumbangan kami akan membeli 'food pack' berupa beras, dal, gula, garam dan pelbagai lagi.

"Kami menyasarkan setiap pelarian dapat menikmati bantuan ini. Tak banyak, sikit pun sudah cukup menggembirakan mereka," katanya.

Afdlin berkata, misi bantuan itu adalah berterusan dan bukannya dibuat bermusim.

“Kalau selepas kami pulang ke tanah air masih ada sumbangan masuk, kami akan terus salurkan kepada mereka,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan Afdlin Shauki (Maybank - 564810516713) atau Tabung Pendidikan & Kebajikan Yayasan Kubra (Bank Islam - 14023010012816).

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 4:14pm
d